TAPAH - Polis sedang memburu empat individu yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan terhadap sebuah keluarga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan pada Rabu lalu.Laporan kejadian itu diterima pada jam 1.23 tengah hari apabila mangsa, lelaki berusia 60 tahun bersama keluarganya menaiki kereta jenis Toyota Unser diekori dua kenderaan dari arah Terowong Menora.Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berpunca apabila mangsa cuba memotong sebuah lori di laluan lebuh raya.Menurutnya, tindakan tersebut mengakibatkan suspek yang menaiki kenderaan Proton X50 dan Honda WRV, bertindak menahan mangsa di tempat letak lori kawasan R&R tersebut."Empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita itu kemudian berjumpa dengan mangsa dan menuntut ganti rugi."Keluarga mangsa yang ketakutan menyerahkan wang sebanyak RM180 kepada suspek sebelum mereka meninggalkan lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Johari berkata, hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kedua-dua kenderaan masing-masing berdaftar atas nama seorang wanita tempatan beralamat di Terengganu dan sebuah syarikat yang beralamat di Johor.Katanya, maklumat itu akan digunakan bagi membantu siasatan untuk mengesan kesemua suspek terbabit."Kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan."Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri atau terbabit dalam sebarang kegiatan yang boleh melanggar undang-undang dan menimbulkan kegusaran awam," katanya.Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Farid Harun di talian 018-2196436 atau pejabat di talian 05-4011222.Terdahulu, tular video berdurasi 6 minit 40 saat memaparkan situasi cemas dihadapi sebuah keluarga apabila mendakwa terdapat kenderaan menghalang laluan mereka.Berdasarkan maklumat dikongsi, kejadian berlaku bermula di Terowong Menora sekitar jam 4 pagi pada Rabu.