KUALA SELANGOR – Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyerang anggota polis dengan pisau pemotong daging pada Ahad lalu.Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza selepas tertuduh, Mohamad Hailmie Idris, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan menerusi jurubahasa mahkamah.Tertuduh, yang masih bujang, turut mengakui semua fakta kes yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Hailmie didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat melibas sebilah pisau, mengejar dan menetak cermin depan kereta milik seorang anggota polis berpangkat koperal.Sewaktu kejadian, anggota tersebut berada di tempat pemandu dengan cermin terbuka dan perbuatan tertuduh diketahui boleh menyebabkan kematian.Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan Bakti 1, Bestari Jaya di sini kira-kira jam 6.05 petang pada 12 Oktober lalu.Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zaki Mohd Zahid memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor bahawa tindakan tertuduh boleh mendatangkan kecederaan kepada khalayak umum.Peguam R Sellamal dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu hukuman ringan kerana tertuduh mempunyai tanggungan bapa dan seorang adik orang kurang upaya (OKU)."Tertuduh yang bekerja di kilang memperoleh gaji tidak menentu dan memohon maaf atas perbuatan itu serta berharap hukuman paling minimum," kata peguamnya.Sinar Harian pada 13 Oktober lalu melaporkan bahawa seorang lelaki tiba-tiba mengamuk sambil memegang pisau pemotong daging di Taman Jasa Ijok.Bagaimanapun, lelaki itu berjaya diberkas polis dan tiada sebarang kecederaan dilapor ke atas mana-mana pihak.