GEORGE TOWN - Seorang doktor Hospital Pulau Pinang (HPP) mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan mengaibkan dan mencabul dua pesakitnya yang juga wanita warga asing di dua mahkamah berasingan di sini pada Jumaat.Di Mahkamah Majistret 1, tertuduh Goon Hoong Tat, 43 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang kini bertugas sebagai pegawai perubatan di hospital berkenaan didakwa dengan niat telah mengaibkan kehormatan seorang wanita warga asing dengan cara mengarahkan mangsa membuka pakaian.Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan maksud mencabul kehormatannya dan telah menyentuh dada mangsa.Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa dan telah menyuruh mangsa berdiri dan berlari setempat dalam keadaan bogel.Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.Kesemua kesalahan itu dilakukan di Bilik Pemeriksaan Klinikal Jabatan Forensik HPP pada jam 9.15, 9.25 dan 9.30 malam, 20 Februari lalu.Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan mohon dibicarakan.Dia membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan selain memohon agar tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai.Beliau juga memohon agar pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.Peguam yang mewakili tertuduh, N Tishalini kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan anak guamnya baharu tamat pengajian dalam Ijazah Sarjana Forensik Patalogi selain mempunyai tanggungan keluarga.Katanya, tertuduh telah berkhidmat selama 15 tahun di HPP sejak 2010."Anak guam saya berusia 43 tahun dan mempunyai seorang isteri serta dua anak. Dia juga sedang melanjutkan pelajaran selain menanggung ibu bapanya yang mana, ibunya berusia 73 tahun dan bapanya berusia 80 tahun."Ibunya juga mengidap pendarahan rahim dan akan menjalani pembedahan. Ibu bapanya juga tinggal bersama tertuduh."Selain itu, pendapatannya dalam lingkungan RM10,000 namun kini berbaki RM5,000 selepas menolak segala perbelanjaan termasuk potongan pinjaman peribadi, PERKESO dan KWSP," katanya.Kata Tishalini lagi, wang jaminan bukan untuk menghukum sebaliknya adalah sebagai memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.Nur Fadrina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,500 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.Nur Fadrina juga tidak membenarkan syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.Sementara itu, di Mahkamah Majistret 1, Hoong Tat menghadapi satu pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang lagi wanita warga asing dengan cara mengarahkan mangsa membuka pakaian dan berlari setempat.Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 9.30 malam, 26 Februari lalu di lokasi sama.Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farahin Ahmad.Tishalini menggunakan butiran sama dalam rayuannya bagi memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan.Siti Nur Farahin menawarkan jaminan RM9,000 dan tertuduh dilarang mengganggu atau mendekati mangsa serta saksi sehingga kes selesai.Muhammad Amzar menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati atau mengganggu saksi serta mangsa sehingga kes selesai.Kesemua kes akan disebut semula pada 27 November depan.Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor disiasat polis berikutan empat laporan berasingan berhubung dakwaan mencabul pesakit wanita.Tiga kes dilaporkan berlaku di daerah Timur Laut manakala satu lagi di daerah Barat Daya.Dalam kejadian pada 29 Jun lalu, mangsa yang berkunjung ke klinik berkenaan untuk mendapatkan rawatan sakit perut mendakwa doktor terbabit mengarahkan beliau menanggalkan baju sebelum menyentuh kedua-dua payudaranya.Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, mangsa tampil membuat laporan polis.