KUANTAN - Cubaan menyorok bekalan daun ketum dalam bungkusan jerami dan menghantarnya menggunakan lori berlogo sebuah syarikat kurier gagal mengelabui mata pihak berkuasa apabila kegiatan haram itu berjaya dibongkar hasil serbuan polis ke atas sebuah rumah di Felda Lepar Hilir 1 di sini pada Khamis.Hasil serbuan kira-kira jam 2.40 petang itu, polis menemui dan merampas 23 bungkusan daun ketum dianggar seberat 509.7 kilogram bernilai RM20,400.Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, susulan rampasan itu, polis menahan lapan suspek berusia 19 hingga 46 tahun termasuk tiga beranak dan dua pemandu lori.Menurutnya, kejayaan tangkapan dan rampasan itu susulan maklumat risikan berkait kes pengedaran daun dan air ketum di sekitar daerah ini."Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama anggota Balai Polis Gambang melakukan serbuan ke sebuah rumah disyaki milik salah seorang suspek."Dalam serbuan itu, polis mengesan enam lelaki sedang memunggah bungkusan mencurigakan dari ruang muatan lori berlogo syarikat kurier manakala dua lagi berada di bawah garaj hadapan rumah itu," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.Ashari berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis turut menjumpai peralatan disyaki digunakan untuk memproses air ketum."Siasatan mendapati kegiatan memproses dan mengedar ketum didalangi suspek utama berusia 46 tahun yang mulai aktif sejak Julai lalu."Bekalan daun ketum dipercayai dipesan daripada pembekal sebuah negeri di utara tanah air dan dihantar menggunakan lori kurier bagi mengelabui mata pihak berkuasa," katanya.Jelas beliau, dua suspek yang juga pemandu lori mengakui menerima upah RM1,200 bagi setiap penghantaran."Suspek juga mengakui telah empat kali membuat penghantaran bekalan daun ketum ke sini (Kuantan) menggunakan lori berlogo sebuah syarikat penghantar barang yang disewa."Modus operandi menyorok daun ketum di sebalik jerami ini kali pertama dikesan, suspek memberi alasan mengelak bekalan cepat rosak," ujarnya.Beliau berkata, semua suspek kini direman sehingga Isnin depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan."Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati semuanya negatif dadah," katanya.