PUTRAJAYA – Pendigitalan sistem perakaunan dan pengauditan dilihat sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh akauntabiliti serta integriti sektor awam.Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Azwan Mohd Ramli berkata, digitalisasi mampu mengurangkan risiko fraud dalam sistem perakaunan.Bagaimanapun katanya, aspek integriti manusia tetap menjadi faktor penentu kepada keberkesanannya."Walaupun teknologi memainkan peranan penting dalam memperkukuh ketelusan, nilai kejujuran dan tanggungjawab individu dalam melaksanakan tugas perlu sentiasa diutamakan," katanya di Simposium Transformasi Digital Perakaunan dan Pengauditan anjuran bersama Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama SPRM di sini pada Khamis.Beliau menjadi panelis Forum 1 bersama Timbalan Akauntan Negara (Operasi) JANM, Noorlida Mohd Khalid dan Akauntan Bahagian Pengurusan Audit Dalam JANM, Hifzul Hafiz Amran bertemakan 'Perakaunan Masa Hadapan: Membina Sektor Awam Berteraskan Digitalisasi dan Akauntabiliti'.Program berimpak tinggi itu berfungsi sebagai platform strategik memperkukuh budaya akauntabiliti dalam sektor awam melalui penggunaan teknologi digital dalam proses perakaunan dan pengauditan.Program ini juga antara inisiatif di bawah Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) yang dilancarkan pada tahun ini oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Ketua Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad serta beberapa ketua agensi lain.Majlis itu turut menyaksikan peluncuran Manual Pengauditan Digital (Digital Audit Manual) oleh Bahagian Audit Dalam JANM, hasil kolaborasi strategik bersama ARI UiTM.Penganjuran simposium itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus serta integriti sektor awam melalui pendekatan digital yang lebih telus dan berakauntabiliti.Kolaborasi antara agensi penguatkuasaan, institusi penyelidikan dan jabatan kerajaan ini diharap dapat mempercepatkan usaha membentuk ekosistem perakaunan dan pengauditan awam yang berintegriti, efisien dan berdaya saing di era digital.