Pendaki maut di Gunung Liang: Polis tahan dua malim gunung bantu siasatan

IPOH - Dua malim gunung ditahan pihak berkuasa susulan kematian seorang pendaki ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Liang dekat Tanjung Malim pada Khamis.Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, tangkapan ke atas lelaki berusia 50 dan 41 tahun itu dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) berikutan kesalahan memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit sah.Menurutnya, kumpulan 10 pendaki yang dibimbing oleh dua malim gunung berkenaan hanya mempunyai permit memasuki hutan simpan dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, kerana pendakian bermula dari Bukit Fraser sebelum menuruni laluan di Tanjung Malim, Perak."Sepatutnya mereka turun di daerah yang sama tempat mereka mula mendaki, tetapi bila kumpulan itu turun di sebelah Muallim, ia dikira memasuki kawasan hutan simpan Perak tanpa permit."Dua malim gunung yang terlibat telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan awal di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Latihan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.Media melaporkan, mangsa, Mustaqqeem Mansor, 34, dari Sungai Petani, Kedah dilaporkan hilang selepas tidak turun bersama kumpulan pendaki pada Selasa lalu.Menurut laporan, rakan-rakan terakhir melihat mangsa di puncak Gunung Liang Barat jam 10.30 malam dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan.Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada Khamis melibatkan 43 anggota pelbagai agensi termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perhutanan Perak.Mangsa bagaimanapun ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 3.30 petang.Mohammad Azlin berkata, setakat ini, proses mengeluarkan mayat dari puncak Gunung Liang Barat masih dilakukan."Mayat akan di bawa ke Hospital Slim River sebaik berjaya dibawa turun untuk urusan selanjutnya," katanya.