Mayat dalam beg pakaian: Polis rakam keterangan tiga individu

GEORGE TOWN - Polis telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang ejen insurans yang mayatnya ditemui disumbat dalam beg pakaian berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh pada 9 Oktober lalu.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, individu terbabit terdiri daripada mereka yang menemui kenderaan dan mayat mangsa, serta seorang ahli keluarganya.Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa lagi individu lain bagi membantu siasatan."Setakat ini, kita telah merekodkan keterangan tiga individu dan siasatan masih dijalankan secara aktif."Pada masa sama, usaha pengesanan suspek juga giat dilakukan dan kita berharap dapat mengenal pasti serta menahan mereka yang terlibat dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Pulau Pinang serta pelancaran PDRM Solidarity Fun Ride 2026 Jambatan Kedua, di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang pada Jumaat.Sebelum ini, polis mengesahkan mangsa yang ditemui dengan kesan kelar di lehernya meninggal dunia akibat lemas.Mangsa dikenali sebagai Lee Boon Han, 31, selepas dikenal pasti oleh ahli keluarganya.Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dibungkus dan dimasukkan ke dalam beg pakaian, kemudian dibuang di belakang flat berkenaan.Polis turut menemui kereta jenis Toyota Vios milik mangsa kira-kira 450 meter dari lokasi penemuan mayat.Usaha memburu suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu kini sedang giat dijalankan.