Polis siasat kes murid Darjah Satu dipukul di kantin sekolah

SHAH ALAM – Polis membuka kertas siasatan membabitkan kes tular seorang murid Darjah Satu dipukul oleh dua pelajar Darjah Tiga di kantin sebuah sekolah di Seksyen 32 di sini.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 9.51 malam, Rabu lalu."Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu kini dirawat di Hospital Shah Alam dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil."Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Tambah Mohd Iqbal, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-5130450 bagi membantu siasatan.Terdahulu, media melaporkan seorang murid lelaki di sebuah sekolah di Seksyen 32 di sini menerima rawatan di hospital selepas dipercayai menjadi mangsa buli kepada murid Darjah Tiga ketika waktu rehat.Mangsa didakwa dipijak berkali-kali oleh salah seorang pelaku di bahagian perut, dada dan kaki selain mulutnya ditekup serta diugut akan dicekik sekiranya melawan atau menjerit.Seorang lagi murid dipercayai bertindak sebagai pemerhati manakala seorang lagi cuba menconteng baju mangsa dalam kejadian itu.