Sistem pentadbiran gagal beri ruang kepada warga sekolah bersuara

SHAH ALAM - Pengumuman pelan atau slogan baharu secara tergesa-gesa dalam menangani isu keselamatan dan kesejahteraan pelajar hanya menunjukkan pihak berkaitan belum memahami akar krisis sebenar dalam sistem pendidikan negara.Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, masalah utama bukan sekadar disebabkan kekurangan dasar atau pekeliling, tetapi berpunca daripada budaya serta sistem yang gagal menyokong guru dan pelajar."Apabila Ketua Pengarah Pendidikan sendiri mengaku ada kes 'disapu bawah karpet', itu bukan isu komunikasi tetapi ia tanda bahawa sistem pentadbiran gagal memberi ruang kepada warga sekolah bersuara tanpa takut."Seorang menteri mesti mendengar terus pandangan lapangan, meneliti laporan dengan jujur dan memahami realiti guru-guru yang menanggung tekanan setiap hari," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.Nik Nazmi menegaskan, seseorang menteri sepatutnya mempertahankan mereka yang berusaha memperbaiki keadaan dan bukan melemahkan demi kelangsungan politik.Beliau yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, sekolah dengan kadar disiplin tinggi tidak wajar dilabel sebagai bermasalah, sebaliknya perlu diberi sokongan tambahan dari sumber, tenaga dan bimbingan untuk memulihkan pelajar.Malangnya, menurut Nik Nazmi, amaran seperti kadar keciciran meningkat dan ketidakhadiran peperiksaan sering diabaikan sehingga tragedi berlaku, manakala pendekatan lima perkara yang diumumkan kementerian hanya menyentuh simptom, bukan akar masalah.Tegasnya, guru kini terbeban bukan kerana kurang dedikasi, tetapi disebabkan sistem yang menuntut terlalu banyak laporan dan terlalu sedikit kepercayaan."Bila wujud krisis disiplin, kesihatan mental atau keselamatan, mereka tersepit antara tanggungjawab melapor dan keinginan melindungi," ujarnya lagi.Nik Nazmi turut mengingatkan bahawa sekolah adalah cerminan masyarakat, namun pendidikan moral, agama dan sivik yang diajar masih belum cukup membina budaya saling menghormati dan empati dalam kalangan pelajar."Sudah tiba masanya kita membina semula ekosistem pendidikan yang berasaskan kepercayaan terhadap guru, keselamatan pelajar dan nilai kemanusiaan," menurutnya.Beliau berpandangam menteri mesti bertanggungjawab dan bukan pegawai ataupun guru, manakala akauntabiliti tidak boleh dipindahkan kepada sesiapa.