SHAH ALAM : Seorang murid tahun satu cedera dan dimasukkan ke hospital selepas dipercayai dipukul oleh dua murid lain di kantin sekolah rendah di sini dua hari lalu. Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan kejadian itu berlaku semasa waktu rehat di kantin sekolah terbabit. Mangsa berusia tujuh tahun itu dipukul oleh dua murid lelaki darjah tiga pada 15 Oktober lalu. Kanak-kanak lelaki warga tempatan itu kemudian dimasukkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan. Ibu mangsa telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada jam 9.51 malam hari yang sama. Mangsa masih berada di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil ketika ini. Pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut. Mereka juga sedang mengenal pasti jenis kecederaan yang dialami mangsa akibat kejadian itu. Mohd Iqbal memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan. Beliau meminta mereka menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nor Sabryna Mohamma Taha di talian 0145130450. – Bernama