Wanita Thailand didakwa edar 1.7kg kanabis di Padang Besar

KANGAR : Seorang wanita warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,735 gram. Kittiya Chaiyaphuek yang berusia 27 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Thai di hadapan Majistret Nurshida Abdul Rahim. Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Kompleks ICQS Padang Besar pada 6.15 petang 8 Oktober lepas. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kesalahan ini boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan. Mahkamah menetapkan 9 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis Nurul Idayu Ismail. Tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam dalam prosiding mahkamah tersebut. – Bernama