[VIDEO] Sidang Kemuncak ASEAN: Tiada penutupan penuh laluan, hanya sementara

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan memaklumkan bahawa tiada penutupan penuh jalan raya akan dilaksanakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung pada minggu hadapan.Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penutupan laluan hanyalah bersifat sementara dan akan dibuka semula selepas sesuatu acara selesai."Bukan ‘lockdown’. Contohnya, jika ada ketua negara melalui dari Lapangan Terbang Subang ke Kuala Lumpur, maka laluan tersebut akan ditutup sementara dan kebanyakannya pula adalah secara berperingkat," katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat kabinet di sini, pada Jumaat.Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai maklumat berhubung penutupan laluan di Lembah Klang susulan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.Sebelum ini, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata bahawa pusat bandar raya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya sempena penganjuran sidang kemuncak tersebut.Seramai 16,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari seluruh negara akan terlibat bagi membantu melancarkan aliran trafik dan berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi sepanjang tempoh 23 hingga 28 Oktober ini.Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, dijangka menerima kehadiran pemimpin-pemimpin dari kuasa besar dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang memberi indikasi untuk hadir.