Jenazah pendaki hilang di Gunung Liang dibawa keluar guna helikopter

TANJUNG MALIM – Jenazah seorang pendaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang di sini berjaya dibawa keluar menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Jumaat.Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mangsa, Mustaqqeem Mansoor, 34, ditemukan meninggal dunia di kawasan puncak gunung yang berketinggian 1,933 meter dari aras laut.Menurutnya, operasi membawa keluar mangsa dijalankan menggunakan pesawat AW189 (BMB 08) dengan bantuan tiga kru udara dan tiga anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB)."Pesawat berlepas dari Padang Kawat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas menerima taklimat daripada ketua operasi dan tiba di lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja pengambilan mangsa."Mangsa berjaya dibawa naik ke pesawat menggunakan teknik winching pada jam 2.45 petang dan seterusnya diterbangkan ke Padang Kawat UPSI sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Shazlean berkata, operasi yang bermula seawal pagi itu menghadapi kesukaran berikutan keadaan cuaca hujan dan awan tebal di sekitar puncak gunung, menyebabkan usaha awal membawa turun mangsa terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.Menurutnya, sebaik jenazah berjaya dibawa keluar, ia kemudiannya dihantar ke Hospital Slim River untuk proses bedah siasat."Operasi masih diteruskan bagi memastikan semua anggota pasukan penyelamat yang berada di puncak selamat turun ke pos kawalan bawah," ujarnya.Difahamkan, mangsa bersama 10 rakan memulakan pendakian dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan menamatkan perjalanan di Gunung Liang, Perak.Kali terakhir mangsa dilihat bersama kumpulannya ialah pada jam 10.30 malam, 14 Oktober lalu di Puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki dan berjalan perlahan sebelum dilaporkan hilang.Operasi mencari dan menyelamat tersebut melibatkan 14 anggota bomba termasuk 10 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), selain turut dibantu oleh pihak polis, Jabatan Perhutanan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dua orang malim gunung.