Tiada kes jenayah serius dilaporkan di institusi TVET setakat ini

SHAH ALAM: Tiada sebarang kes jenayah atau salah laku serius dilaporkan berlaku membabitkan pelajar dalam institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) setakat ini. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keadaan itu harus dikekalkan oleh semua pihak. Beliau menyatakan pihak pengurusan institusi TVET sentiasa menekankan aspek disiplin dan tatalaku dalam pengambilan pelajar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Dalam setiap pengambilan TVET, antara pengisian dalam taklimat pengenalan adalah tatalaku, ini sering diperingatkan kerana kita mempunyai 1,398 institusi TVET di seluruh negara dan kami koordinasi semua suntikan untuk memberikan tatakelola dan disiplin dalam kalangan pelajar,“ katanya. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan ASEAN 2025 di sini. Dalam perkembangan lain, beliau turut mencadangkan supaya dasar khusus berkaitan industri sukan diperkenalkan semula. Cadangan itu bagi memastikan sektor sukan dapat berkembang secara berterusan dan tidak bergantung kepada perubahan kepimpinan. Beliau berkata walaupun industri sukan dipromosikan sejak 1980-an oleh Kementerian Belia dan Sukan, pelaksanaannya dilihat tidak konsisten kerana sering berubah setiap kali berlaku pertukaran menteri atau ketua setiausaha. “Saya rasa elok jika dasar industri dalam sukan ini dapat diperkenalkan dan dijadikan sebagai satu panduan kerana pasaran industri sukan cukup besar bukan hanya untuk negara kita tetapi juga negara ASEAN. “Kita lihat pasaran dunia melebihi 688 billion dolar Amerika, kalau kita ambil sebahagian kecil pun kita akan dapat jadikan industri sukan sebagai pendapatan untuk negara kita,“ katanya. – Bernama