Konvokesyen UMS tidak jejas proses PRN Sabah - Ahmad Zahid

SHAH ALAM: Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah ke-27 pada 29 November ini tidak akan menjejaskan proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada hari sama. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengambil kira semua aspek secara menyeluruh sebelum membuat ketetapan termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dijadualkan bermula pada 3 November. “Kemungkinan SPR sudah membuat persiapan dengan UMS dewan UMS tidak digunakan untuk proses pengundian ibu bapa yang datang pun bukan semua berasal dari Sabah sahaja,“ katanya ketika ditemui pemberita pada ASEAN Sports Industry Expo 2025 di sini hari ini. Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional menambah mahasiswa UMS juga terdiri daripada pelajar seluruh Malaysia dan tidak melihat sebarang masalah timbul dalam hal ini. Untuk rekod majlis Konvokesyen UMS ke-27 bagi graduan 2025 dijadualkan berlangsung dari 29 November hingga 2 Disember. Mengulas mengenai penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2025 Ahmad Zahid berkata Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah berhubung dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk memaklumkan perkara berkenaan. “Ini kali kedua ditangguhkan yang sepatutnya pada bulan Ogos kemudian pada 26 November tetapi apabila PRN Sabah ditetapkan pada 29 November nanti kita terpaksa pinda kepada bulan Januari tahun hadapan,“ katanya. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 15 November ini sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sabah diikuti pengundian awal dan hari mengundi masing-masing pada 25 dan 29 November. Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 menyaksikan sebanyak 73 kerusi bakal dipertandingkan. – Bernama