KEJOHANAN Ragbi Asia Tujuh Sebelah (7s) yang akan berlangsung di Stadium Racecourse, Colombo, Sri Lanka bermula Sabtu ini.Ketua jurulatihnya, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, keserasian dan semangat berpasukan yang semakin kukuh memberi keyakinan tinggi kepada barisan pemain untuk memperbaiki kedudukan ranking semasa dan mengekalkan slot penyertaan ke kejohanan musim depan."Dari segi keserasian dan ‘chemistry’ pasukan, saya nampak peningkatan ketara. Fokus utama kami ialah mempamerkan prestasi terbaik serta mengekalkan ranking minima yang boleh memastikan kelayakan untuk edisi tahun depan," katanya.Anak buah Nik Safuan sebelum ini menamatkan saingan Siri 1 di Hangzhou, China dengan berada dalam kelompok enam terbaik selepas tewas 17-26 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi penentuan kedudukan.Sementara itu, Nik Safuan menyifatkan kejohanan kali ini juga dijadikan medan penting bagi memperkemas persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand 2025, dengan tumpuan diberikan kepada aspek taktikal dan kekuatan fizikal pemain."Apa yang kita buat sekarang lebih kepada persiapan ke Sukan SEA. Jadi kejohanan di Colombo ini menjadi platform penting untuk menilai tahap permainan semasa dan kesediaan pemain di pentas antarabangsa," jelasnya.Mengulas mengenai kelewatan ketibaan skuad ke Sri Lanka susulan masalah penerbangan, Nik Safuan menegaskan isu itu tidak menggugat fokus pemain kerana situasi sebegitu sudah sering dihadapi dalam kejohanan luar negara."Kita dah biasa dengan perkara seperti kelewatan penerbangan atau urusan ‘check-in’. Pasukan tetap profesional dan terus menyesuaikan diri. Kami akan improvise dalam apa jua keadaan dan cuba tunjukkan yang terbaik," katanya.