BEREGU lelaki profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub – Tan Wee Kiong, menamatkan kempen di Terbuka Denmark Super 750 dengan penuh bermaruah selepas tewas sengit kepada pilihan kelima dari China, Liang Wei Keng – Wang Chang, pada aksi suku akhir di Arena Jyske Bank, Odense pada Jumaat.Pasangan ranking ke-24 dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi sebelum akur dengan kekalahan 19-21, 18-21 dalam pertarungan selama 38 minit, sekali gus menutup cabaran mereka di kejohanan berprestij tersebut.Meskipun gagal mara ke separuh akhir, persembahan mantap Azriyn–Wee Kiong sepanjang kejohanan tetap mendapat pujian, khususnya selepas mencipta kejutan pada pusingan kedua dengan menyingkirkan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won-ho – Seo Seung-jae.Gandingan berpengalaman negara tampil cemerlang untuk menang 21-19, 21-14 dalam tempoh 36 minit, sekali gus melakar antara kemenangan paling bermakna dalam karier mereka sejak kembali bergandingan awal musim ini.Berdepan beregu handalan China semalam, Azriyn–Wee Kiong terus menunjukkan ketenangan dan disiplin tinggi di gelanggang, namun ketepatan pukulan serta pengalaman Wei Keng – Wang Chang, di saat-saat genting menjadi pemisah antara kemenangan dan kekalahan.