KOTA TINGGI – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari masjid selepas menunaikan solat Jumaat di Simpang Jalan Hijau 8, Felda Penggeli Timur di sini pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kemalangan tersebut pada jam 3.25 petang.Katanya, nahas berkenaan melibatkan empat pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang berusia antara 14 hingga 17 tahun."Kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang remaja lelaki berusia 15 tahun bersama-sama pembonceng iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun."Sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang dan dibonceng remaja lelaki kedua-duanya berusia 14 tahun."Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Modenas Kriss masuk simpang dan menyebabkan Yamaha Y15ZR yang berada di laluan sama di belakangnya tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi Modenas Kriss itu," katanya dalam kenyataan.Menurut beliau, insiden tersebut menyebabkan pembonceng Yamaha Y15ZR mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian."Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi manakala penunggang motosikal itu pula dirujuk ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang bagi rawatan lanjut."Penunggang dan pembonceng Modenas Kriss mengalami cedera ringan. Kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.