Murid cedera terkena tali pinggang berpunca daripada salah faham – Polis

SIPITANG – Polis mengesahkan kejadian seorang murid perempuan cedera di kepala akibat terkena tali pinggang murid lelaki di sebuah sekolah rendah di sini berpunca daripada salah faham antara kedua-dua murid.Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintenden Awang Anak Suanda berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu yang berlaku kira-kira jam 7.40 pagi."Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara kedua-dua murid. Pihak polis memandang serius insiden ini dan akan memanggil saksi-saksi berkaitan untuk membantu siasatan."Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau turut mengingatkan sebarang pendedahan atau penyebaran maklumat berkaitan kanak-kanak, khususnya melalui media sosial, merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 15(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)."Ia memperuntukkan larangan mendedahkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam sebarang prosiding atau kejadian jenayah."Justeru, orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengendalikan maklumat sedemikian demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak," katanya.Sebelum ini, satu gambar tular di media sosial memaparkan seorang murid perempuan berlumuran darah, mencetuskan spekulasi berlakunya kes buli atau pergaduhan.Namun begitu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, mengesahkan bahawa kejadian itu adalah kemalangan ketika murid berkenaan bermain dengan rakan, berdasarkan laporan daripada guru besar sekolah terbabit.