10 ahli geng kongsi gelap rebut kawasan edar dadah dicekup

KUALA LUMPUR – Kumpulan jenayah terancang melibatkan geng kongsi gelap yang berebut kawasan pengedaran dadah berjaya ditumpaskan baru-baru ini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, satu laporan polis telah diterima pada 7 Oktober lalu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang cedera akibat ditembak di bahagian perut.Menurutnya, susulan laporan itu, Bahagian Siasatan Khas dan Jenayah Terancang (D9) telah menahan 10 lelaki berusia antara 21 hingga 40 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Selangor."Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan berkaitan kes dadah."Hasil maklumat daripada salah seorang suspek membawa kepada rampasan sepucuk pistol automatik jenis Stoeger Cougar di sebuah rumah di Kuala Selangor pada 12 Oktober," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, pada Jumaat.Beliau berkata, siasatan mendapati kumpulan suspek ini dikategorikan sebagai sindiket jenayah terancang dan menggunakan kekerasan.Tambahnya, kejadian tembakan dipercayai berpunca daripada unsur dendam, perselisihan faham dan perebutan kuasa kawasan pengedaran dadah.Katanya lagi, dua lagi lelaki masing-masing berusia 21 dan 34 tahun yang masih bebas sedang giat dikesan oleh pihak polis."Lelaki berusia 34 tahun didapati mempunyai rekod sebagai individu dikehendaki dan dipercayai merupakan salah seorang ahli kumpulan jenayah terancang Geng TR," ujarnya.Tegas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971."JSJ akan terus komited dalam membanteras kegiatan jenayah di Malaysia demi memastikan negara ini bebas daripada jenayah, serta kekal selamat untuk didiami dan dikunjungi," katanya.