'MIC bebas tentukan hala tuju dalam BN' - Ahmad Zahid

SHAH ALAM – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak pernah memaksa mana-mana parti komponen untuk kekal atau keluar daripada gabungan tersebut.Menurutnya, keputusan sama ada untuk terus bersama BN atau menyertai gabungan lain merupakan hak setiap parti komponen."Kita terbuka kerana dulu kita ada 14 parti komponen dalam BN dan tidak ada paksaan sama ada untuk masuk ataupun untuk keluar," katanya ketika ditemui selepas merasmikan ASEAN Sports Industry Expo di Setia City Convention Centre, Setia Alam, di sini pada Jumaat.Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan BN sekiranya MIC mengambil keputusan untuk meninggalkan gabungan itu.Tambah beliau, keputusan MIC kelak diharap dibuat secara bijak bagi memastikan hala tuju parti tersebut tidak membawa penyesalan pada masa hadapan."Sudah tentu mereka akan membuat keputusan yang bijak bagi menentukan gabungan mana yang akan mereka sertai, asalkan mereka tidak menyesal di kemudian hari," jelas beliau.Mengulas mengenai kenyataan MIC yang tidak mengundangnya ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti itu yang akan diadakan pada 16 November depan, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa beliau menghormati keputusan rakan komponen itu yang sedang menumpukan kepada penyelesaian isu dalaman parti."AGM kali ini mereka (MIC) mahu menyelesaikan masalah dalaman. Tentu kita beri ruang seluas-luasnya untuk mereka menyelesaikan masalah itu," katanya.Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung pada tarikh sama dengan Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) iaitu pada 29 November, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum menetapkan tarikh pengundian, termasuk jadual peperiksaan dan majlis konvokesyen universiti."Itu telah diambil kira oleh SPR, termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan kemungkinan mereka telah membuat penyelarasan dengan pihak UMS supaya dewan universiti tidak digunakan sebagai pusat pengundian."Ibu bapa yang datang bukan hanya dari Sabah, tetapi dari seluruh Malaysia, namun saya tidak nampak sebarang masalah kerana SPR sudah tentu mengambil langkah sewajarnya," katanya.