PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneliti dan mengeluarkan garis panduan baharu dalam masa terdekat berhubung cadangan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi murid bawah umur 16 tahun.Langkah itu susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat yang menetapkan beberapa tindakan segera bagi meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan di seluruh negara.Menurut kenyataan KPM, garis panduan berkenaan akan dirangka dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk pelaksanaan larangan tersebut, bagi memastikan ia selaras dengan usaha kerajaan memperkukuhkan keselamatan serta disiplin di sekolah."KPM menyambut baik keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang menggariskan langkah-langkah segera bagi menangani isu keselamatan di institusi pendidikan termasuk usaha untuk meningkatkan pemantauan pihak polis di semua institusi pendidikan," kata kenyataan itu.Pada masa sama, KPM turut menyatakan sokongan terhadap hasrat kerajaan menetapkan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial sebagai langkah melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber.Menurut kenyataan itu lagi, mekanisme pelaksanaan dasar tersebut akan diperincikan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).Dalam masa yang sama, KPM menegaskan bahawa semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu perlu memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan sekolah dapat ditingkatkan secara berterusan."Kerjasama rentas kementerian dan agensi merupakan cerminan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM," tambah kenyataan itu.