SHAH ALAM - Lima trak bantuan kemanusiaan kelolaan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dihantar ke Gaza susulan pembukaan lintasan Rafah pada Rabu.Pengurus Kanan Projek MyCARE, Kamarul Halim Sakrani berkata, semua barang bantuan ditempatkan di sebuah gudang di selatan Gaza dan proses pengagihan dikawal selia oleh Pengurus Besar MyCARE di Gaza, Dr Ziad Shehada"Lima trak bantuan MyCARE merangkumi empat trak membawa 80 tan tepung serta satu trak membawa 1,000 pek makanan dengan nilai keseluruhan RM360,000."Rakan NGO Al-Khyr melaporkan, dua trak yang membawa 40 tan tepung telah berjaya masuk ke dalam Gaza melaui sempadan Rafah pada Khamis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Dalam pada itu, Kamarul Halim memaklumkan, MyCARE turut mengatur projek kemanusiaan berskala besar di Gaza yang akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula bulan ini sehingga September 2026.Projek bernilai RM9 juta itu menurutnya, meliputi bantuan segera dan pemulihan jangka panjang seperti klinik bergerak, tempat perlindungan sementara, penyelenggaraan serta pembinaan telaga air baharu dengan panel suria, pemulihan prasarana pendidikan dan penyaluran pek makanan serta susu bayi."Selama dua tahun rakyat Gaza menderita bukan sahaja dibom dan menjadi mangsa genosid, malah turut menghadapi kebuluran amat teruk."Genosid yang dilakukan oleh Israel diguna sebagai bentuk senjata kepada rakyat Gaza dan MyCARE akan terus komited untuk meneruskan usaha kemanusiaan termasuk menyalurkan bantuan terutama makanan dan air bersih," ujarnya.Sejak 7 Oktober 2023, MyCARE telah menyalurkan bantuan berjumlah RM27 juta melibatkan pelbagai bidang antaranya keselamatan makanan, pemulihan awal dan kesihatan.