SKUAD Young Tigers menempah pertemuan dengan New Zealand pada penentuan tempat kelima dan keenam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC), 2025 pada Sabtu setelah tewas 1-2 kepada India pada aksi kelima yang juga aksi terakhir bagi pusingan round-robin di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Jpohor Bahru pada Jumaat.Keputusan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu sekadar meraih empat mata sementara India pula cemerlang mara ke pentas final dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri pada edisi kali ini dan bakal berdepan pendahulu pusingan round-robin kali ini, Australia.Malah, pentas final pada Sabtu juga bakal mengulangi aksi edisi 2022 lalu yang menyaksikan India muncul juara hasil kemenangan 5-4 menerusi shoot-out setelah terikat 1-1 dengan skuad Burras itu.Untuk rekod, pada SOJC kali ini, skuad muda negara tumpas 2-7 kepada Pakistan pada aksi pembukaan sebelum mengikat Australia 1-1 , menewaskan New Zealand, 4-2 pada Selasa dan tumpas 1-4 kepada Great Britain pada Rabu.Aksi berdepan India menyaksikan kedua-dua pasukan bermula baik apabila dilihat saling mengasak ke pintu gol masing-maing bagi membuka jaringan.Namun, kesemua serangan berkenaan dilihat gagal menghasilkan sebarang gol buat kedua-dua pasukan bagi menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan bagi menamatkan suku pertama.Suku kedua menyaksikan India bermula garang dengan mengatur asakan bertubi-tubi ke pintu gol skuad negara bagi menjaringkan gol pembukaan.Akhirnya, India membuka jaringan pada minit ke-22 oleh Gurjot Singh yang memanfaatkan keadaan kelam kabut di pintu gol skuad negara hasil pukulan sudut penalti (PC).India kemudiannya semakin mengasak hebat ke pintu gol skuad negara, namun tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan hingga tamat suku kedua.Memasuki suku ketiga menyaksikan Young Tigers mengubah tempo serangan dengan lebih kerap mengasak ke pintu gol India.Hasilnya, P.Naavineesh menceriakan penyokong skuad negara di Stadium Hoki Johor apabila menyumbat gol penyamaan pada minit ke-43.Suku keempat menyaksikan kedua-dua pasukan dilihat semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.Bagaimanapun, pemain India Sourabh Anand Kushwaha berjaya memanfaatkan PC di depan pintu gol skuad negara pada minit ke-48 bagi kembali mendahului perlawanan pada suku terakhir.Penghujung perlawanan menyaksikan skuad muda negara semakin hebat mengasak ke pintu gol India, namun gagal menjaringkan gol penyamaan hingga ke wisel penamat.Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam saingan SOJC ialah pada edisi pertama 2011 apabila muncul juara sulung kejohanan berkenaan.Bagaimanapun, edisi 2024 lalu menyaksikan Young Tigers menamatkan saingan pada kedudukan keenam dan ketujuh pada edisi 2023 lalu.