TANJUNG MALIM – Allahyarham Mustaqqeem Mansor, 34, sempat membuat siaran semula (repost) video kerinduan isterinya di media sosial sebelum dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Liang di sini pada Isnin lalu.Isterinya, Nur Faratin Mohd Othman, 31, berkata, hantaran itu dibuat secara spontan selepas suaminya memaklumkan bahawa dia akan memulakan pendakian bersama kumpulannya dari Bukit Fraser, Pahang pada Jumaat.Menurutnya, beberapa jam selepas itu, dia memuat naik satu hantaran video menggambarkan rasa rindunya dan tidak lama kemudian suaminya sempat membuat 'repost' dengan kapsyen "jumpa hari Isnin"."Saya tak tahu kenapa waktu itu saya buat hantaran video, baru dua tiga jam dia pergi pun saya dah rindu. Saya tak sangka arwah sempat repost dan tulis ‘jumpa hari Isnin’," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Slim River di sini pada Jumaat.Nur Faratin berkata, perbualan terakhir mereka berlangsung pada Jumaat apabila Mustaqqeem menghubunginya untuk memaklumkan bahawa dia akan mula memasuki kawasan pendakian."Saya pesan supaya dia hubungi saya dulu sebelum masuk sebab saya tahu kalau dah masuk, susah nak hubungi."Dia telefon dan kata dah nak masuk dalam. Saya cakap elok-elok, nanti keluar hari Isnin kan? Dia jawab ya, jumpa hari Isnin," katanya.Nur Faratin mengakui, hatinya berasa berat ketika menghantar suaminya pergi kerana hujan lebat dan tidak menyangka pesanan itu menjadi kata terakhir antara mereka."Saya tanya betul ke nak pergi, sebab hujan, bahaya. Tapi dia jawab tak apa, kawan-kawan semua tahu apa nak buat. Biasanya dia pergi tak pernah ada masalah," ujarnya.Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah Lahar Tabut, Penaga, Pulau Pinang, malam ini selepas proses bedah siasat di Hospital Slim River selesai.Terdahulu, media melaporkan mangsa tidak turun bersama kumpulan pendaki pada Selasa lalu, dan kali terakhir dilihat sekitar jam 10.30 malam di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan sakit kaki serta berjalan perlahan.Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilancarkan pada Khamis lalu disertai 43 anggota pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Perhutanan Perak.Mayat Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia pada jam 3.30 petang Khamis di kawasan puncak gunung dengan sedikit kesan pendarahan pada hidung, dipercayai akibat hipotermia.