'Kami hanya mampu sujud dan berdoa' - Guru SRA kongsi detik cemas ribut mengganas

KUALA LANGAT – Seorang guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan, Nur Azizah Qamari masih trauma mengenangkan detik cemas ketika ribut kuat melanda sekolahnya pada petang Rabu lalu sehingga mereka tidak mampu bergerak dan hanya mampu berdoa untuk keselamatan diri.Guru berusia 33 tahun itu berkongsi pengalamannya ketika ditemui semasa lawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah ke SRA Kampung Medan, Telok Panglima Garang, di sini pada Jumaat.Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 4 petang, dia bersama kira-kira 15 hingga 16 murid Tahun Enam sedang menjalani latihan nasyid dan sesi mengaji di surau sekolah sebagai persiapan untuk Majlis Khatam Perdana yang dijadualkan minggu berikutnya."Ketika itu hujan sudah mula turun. Kami sedang mengaji di bahagian hadapan surau. Dalam 10 minit begitu, saya nampak ada benda berterbangan di luar. Ingatkan angin ribut biasa," ujarnya.Namun, katanya, keadaan berubah sekelip mata apabila angin kuat datang dari pelbagai arah dan menerjah masuk ke kawasan surau."Tiba-tiba angin menerpa daripada semua sudut. Kami langsung tidak boleh buat apa-apa, cuma tunduk dan baca apa sahaja yang terlintas di fikiran. Dalam hati hanya fikir, ‘Ya ALLAH, apa jadi ini... mungkin saya pun tiada harapan untuk hidup lagi,’" ujarnya.Menurutnya, dalam keadaan cemas itu, murid lelaki berada di bahagian hadapan manakala murid perempuan di bahagian belakang surau."Saya cuba kawal keadaan tetapi memang tidak sempat untuk memberi sebarang arahan. Semua hanya mampu menunduk dan berlindung di tempat masing-masing," katanya.Nur Azizah berkata, kejadian itu berlaku sangat pantas, dianggarkan tidak sampai lima minit, namun cukup untuk mencetuskan suasana panik dan meninggalkan kesan mendalam kepada semua yang terlibat."Angin terlalu kuat, bunyinya seperti kapal terbang mahu mendarat. Kami nampak kaca, serpihan dan pintu berterbangan menghala ke arah kami. Ada murid yang luka ringan, mungkin terkena serpihan kaca dari tingkap dan pintu yang pecah," ujarnya lagi.Tambahnya, dia bersyukur kerana struktur kerangka besi biru di bahagian surau tidak jatuh terus ke arah mereka dan hanya tergantung selepas kejadian sekali gus mengelakkan kecederaan lebih serius."Kalau lihat keadaan dalam surau memang bersyukur sangat. Banyak kaca berterbangan tetapi kami semua selamat," katanya.Nur Azizah berkata, pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam kerana tidak pernah terbayang akan berdepan situasi sebegitu di sekolah."Kita selalu nampak angin kuat atau puting beliung berlaku di luar negara tetapi kali ini berlaku depan mata. Tudung saya pun hampir tercabut, memang terasa angin berpusing kuat di dalam surau," ujarnya.Dia turut memuji ketenangan murid-murid yang tidak menjerit atau bertempiaran lari walaupun berada dalam keadaan bahaya."Alhamdulillah semua murid saya selamat. Bila angin mula reda dan keadaan senyap, baru kami sedar kejadian sudah berakhir," katanya.Sementara itu, seorang murid, Muhammad Farish Nazriel Jamal, 12, berkata ketika kejadian dia sedang membaca al-Quran bersama rakan-rakan di dalam surau sambil menunggu giliran menyertai latihan nasyid."Waktu itu hujan mula turun lebat dan tiba-tiba ribut datang kuat. Saya hanya mampu ucap ‘Ya ALLAH, Ya ALLAH’ sahaja. Masa itu semua orang sangat takut," ujarnya.Farish mengalami kecederaan di bahagian belakang selepas terkena objek yang berterbangan akibat tiupan angin kuat."Bila terasa sakit baru saya sedar belakang saya terkena sesuatu. Tapi masa itu tidak fikir sangat, cuma mahu selamat," katanya perlahan.Seorang lagi murid, Muhammad Daris Isyraf Roshamri, 12, yang turut berada di surau, cedera di bahagian tangan sehingga menerima beberapa jahitan."Saya pun dalam surau masa itu. Bila ribut datang, saya cuma serahkan diri kepada keadaan dan berserah kepada ALLAH. Lepas reda baru saya nampak tangan saya berdarah," ujarnya.