SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menekankan fokus utama dalam beberapa aspek termasuk meningkatkan rondaan dan kehadiran polis di kawasan sekolah bagi menyokong dasar keselamatan digital pelajar.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian turut memperkukuh kempen kesedaran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta memperkasa peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar mengenai keselamatan siber."KDN turut menyokong pendekatan menyeluruh melibatkan mempertingkat sistem sokongan kesihatan mental yang mudah diakses dan mesra belia di sekolah serta komuniti."Kedua, penguatkuasaan jelas dengan akibat yang konsisten terhadap penyalahgunaan peranti, buli siber dan eksploitasi digital."Ketiga, pemantauan dan penyesuaian dasar secara berterusan agar langkah berkenaan kekal relevan dengan perubahan teknologi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Sebelum ini, kerajaan bercadang untuk melarang penggunaan telefon pintar bagi individu berusia bawah 16 tahun sebagai sebahagian daripada langkah segera menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk kes buli dan jenayah keganasan dalam kalangan pelajar.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada tiga langkah segera yang dicadangkan oleh Jemaah Menteri.Ujar Saifuddin, usaha lain juga membabitkan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk KPM, Kementerian Kesihatan (KKM), PIBG, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan platform digital."Pendidikan literasi digital yang mantap bagi membentuk pelajar beretika dan bertanggungjawab dalam dunia maya."Akauntabiliti platform dan keselamatan melalui reka bentuk supaya syarikat teknologi turut memainkan peranan dalam melindungi pengguna bawah umur," ujarnya.Beliau menegaskan isu keselamatan digital pelajar merupakan satu tanggungjawab nasional yang menuntut kerjasama menyeluruh antara kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, komuniti dan industri teknologi.Menurutnya, langkah tersebut bertujuan melindungi masa depan generasi muda supaya mereka membesar dalam persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan sejahtera secara mental serta digital, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani."KDN menyatakan sokongan penuh terhadap langkah tegas dan berpandangan jauh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkenalkan dasar bagi menghadkan akses kepada platform media sosial yang memaparkan kandungan keganasan, lucah serta unsur-unsur negatif dan merbahaya yang boleh membawa kemudaratan kepada kanak-kanak di bawah umur."Sebagai pelengkap kepada langkah ini, KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan tindakan bersepadu yang menekankan pendidikan, pencegahan dan Penguatkuasaan," kata beliau.