KUALA LUMPUR – Dikunci, dikurung serta diberi tekanan emosi dan ketakutan merupakan antara penderitaan yang terpaksa dihadapi mangsa pemerdagangan orang yang diperdaya sindiket selepas dijanjikan tawaran kerja.Perkara itu terbongkar selepas seramai 49 wanita warga Indonesia berusia antara 20 hingga 47 tahun diselamatkan menerusi serbuan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi Op Pintas dengan kerjasama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) dilaksanakan di sekitar daerah Klang dari 10 hingga 13 Oktober lalu.Menurutnya, sebanyak 11 serbuan telah dilakukan dan berjaya menahan 14 suspek termasuk dalang utama sindiket pemerdagangan manusia yang berselindung di sebalik syarikat agensi pekerja asing tidak berdaftar beroperasi di sebuah pejabat kecil."Suspek terdiri daripada 11 warga tempatan iaitu lapan lelaki dan tiga wanita, manakala tiga lagi merupakan wanita warga Indonesia."Antara peranan suspek termasuk sebagai penghantar (transporter), kerani dan pengurus," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Jumaat.Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas wang tunai kira-kira RM1 juta, enam buah kereta, 71 naskhah pasport, 19 unit telefon bimbit, lima set rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan 14 rangkai kunci rumah.Tambahnya, siasatan mendapati sindiket terbabit merekrut mangsa dari keluarga miskin di Indonesia dengan menjanjikan pekerjaan di kilang dan syarikat swasta di Malaysia."Ejen sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk membawa masuk mangsa ke Malaysia."Namun, setibanya di sini, mangsa dikurung, dikawal rapi, telefon bimbit dirampas dan mereka diugut akan dicederakan sekiranya cuba melarikan diri dari rumah atau tempat kerja. Malah, ada mangsa telah dipaksa bekerja selama 13 tahun," katanya.Menurutnya, mangsa dipaksa melakukan kerja-kerja rumah dan bekerja mengikut syif. Bagaimanapun, bayaran yang diterima telah diambil sepenuhnya oleh pihak sindiket."Tempat penempatan kebanyakan adalah rumah teres yang disewa dan dikawal ketat dengan elemen ketakutan yang tinggi," ujarnya.Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.