KUALA LUMPUR - Geng Latin yang menyasarkan kediaman mewah untuk dipecah masuk tumpas selepas empat diberkas di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini 11 Oktober lalu.Tangkapan kira-kira jam 10 malam itu dilaksanakan Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu terdiri daripada tiga warga Colombia serta seorang Mexico.Menurutnya, polis telah merampas barang kes antaranya wang tunai pelbagai mata wang, rantai emas, cincin, telefon bimbit serta kenderaan yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan jenayah."Kenderaan digunakan suspek bagi melakukan jenayah didapati tidak mempunyai rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)."Rumah mewah yang jadi sasaran suspek dibuat secara rawak sahaja. Waktu jenayah dilakukan sekitar waktu petang ke malam ketika penghuni tiada di rumah kerana keluar bekerja atau keluar makan malam," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Jumaat.Beliau berkata, siasatan mendapati dua suspek warga Colombia terbabit masing-masing memiliki tiga serta enam rekod lampau selain pernah ditangkap pada tahun 2012 dan 2014 membabitkan kes sama.Tambahnya, polis percaya dua suspek merupakan dalang geng terbabit yang memainkan peranan untuk 'merisik' dan kenal pasti sasaran."Berikutan tertangkapnya geng ini, empat kes pecah rumah diselesaikan dengan kerugian hampir RM1 juta. Dua daripada kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam," ujarnya.Tambahnya, kes masih dalam siasatan dan polis tidak tolak kemungkinan ada kes lain terlibat membabitkan Geng Latin ini."Kesemua suspek masih direman sehingga 19 Oktober untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.