Sudah tiba masanya dasar keselamatan aktiviti pendakian dinilai semula

INSIDEN kematian seorang pendaki di Gunung Liang, Tanjung Malim yang disusuli dengan penahanan dua malim gunung kerana tidak memiliki permit sah, kembali mencetuskan persoalan besar mengenai tahap keselamatan dan pemantauan terhadap aktiviti pendakian di negara ini.Tragedi yang melibatkan Mustaqqeem Mansor, 34, dari Sungai Petani itu bukan sahaja menyayat hati, tetapi turut menimbulkan kebimbangan mendalam dalam kalangan masyarakat tentang sejauh mana aspek keselamatan diambil berat dalam aktiviti sukan rekreasi yang semakin diminati ramai.Kegiatan mendaki kini bukan sekadar hobi, tetapi sudah menjadi satu gaya hidup, khususnya dalam kalangan generasi muda yang gemar melakukan aktiviti luar.Namun, di sebalik populariti ini, muncul persoalan sejauh mana aktiviti tersebut diurus secara sistematik, khususnya dari sudut peraturan rentas negeri, kelulusan permit dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.Dari sudut keselamatan awam, masyarakat kini semakin bimbang dengan kekerapan insiden di kawasan pergunungan dan hutan simpan.Beberapa kes sebelum ini membabitkan kehilangan pendaki, kecederaan serius, malah kematian akibat faktor cuaca, keletihan dan kekurangan peralatan keselamatan.Ini membuktikan bahawa aktiviti mendaki bukan sekadar aktiviti santai, tetapi berisiko tinggi dan memerlukan sistem kawalan serta latihan yang ketat.Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan menilai semula dasar serta garis panduan keselamatan bagi aktiviti lasak seperti pendakian gunung.Beberapa cadangan boleh dipertimbangkan termasuk penyelarasan permit antara negeri dan agensi. Bagi gunung yang merentasi sempadan negeri, satu sistem permit tunggal harus diwujudkan agar pendaki tidak terperangkap dalam peraturan berbeza antara negeri.Ini boleh diselia melalui platform digital kebangsaan yang memantau pergerakan pendaki secara masa nyata dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pasukan keselamatan lain.Selain itu, malim gunung memainkan peranan penting sebagai pengiring dan penyelamat awal jika berlaku kecemasan.Justeru, kerajaan wajar mewajibkan latihan tahunan dan pensijilan keselamatan yang diiktiraf bagi memastikan mereka kompeten dan memahami prosedur risiko termasuk pertolongan cemas serta navigasi hutan.Tragedi di Gunung Liang bukan kes terpencil, tetapi amaran bahawa pendekatan kita terhadap keselamatan dalam aktiviti luar masih longgar.Jika tindakan segera tidak diambil, dikhuatiri lebih banyak nyawa akan terkorban akibat kelemahan manusia dalam menguruskan keselamatan.