Tiada keperluan pelajar guna telefon pintar - Alimuddin

SHAH ALAM - Pakar pendidikan menyambut baik cadangan kerajaan melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar bawah 16 tahun sebagai sebahagian langkah segera menangani isu keselamatan di sekolah.Bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, ini kerana tiada keperluan untuk pelajar menggunakan telefon pintar sama ada di sekolah atau di rumah.Ujar beliau, penggunaan gajet juga boleh memberi kesan buruk kepada pelajar kerana mengganggu tumpuan mereka di sekolah."Sekiranya perlu menghubungi ibu bapa, pelajar boleh gunakan telefon awam yang tersedia di sekolah," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Tambah beliau, penggunaan telefon pintar mendedahkan pelajar kepada kandungan tidak sihat seperti video berbentuk keganasan atau lucah."Ia juga melalaikan kerana adanya pelbagai aplikasi permainan dalam talian," katanya.Sementara itu, menurut Alimuddin, cadangan larangan penggunaan telefon pintar bagi golongan pelajar bawah 16 tahun perlu dibincangkan dengan lebih teliti dan melibatkan pandangan pelbagai pihak yang berkepentingan.Jelas beliau, langkah itu penting bagi memastikan kerajaan dapat menentukan kaedah dan pendekatan yang sesuai untuk menguatkuasakan larangan tersebut.