CADANGAN kerajaan untuk melarang penggunaan telefon pintar bagi individu berusia bawah 16 tahun merupakan langkah tegas dan berpandangan jauh dalam menangani isu keselamatan serta disiplin pelajar di sekolah.Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa saranan tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan segera menangani isu keselamatan di sekolah, termasuk kes buli dan jenayah keganasan dalam kalangan pelajar.Ujar beliau, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada tiga langkah segera yang dicadangkan oleh Jemaah Menteri.Saranan berkenaan dilihat sebagai reaksi terhadap peningkatan kes buli, penyebaran kandungan tidak bermoral serta pengaruh negatif media sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja.Secara umumnya, tidak dinafikan bahawa telefon pintar membawa manfaat besar kepada penggunaan seharian masyarakat, termasuk dari segi komunikasi dan akses maklumat.Namun demikian, bagi pelajar bawah umur, penggunaannya tanpa kawalan boleh mendatangkan kesan buruk terhadap emosi, tumpuan pembelajaran dan perkembangan sosial.Kajian menunjukkan bahawa pendedahan awal kepada media sosial dan permainan dalam talian berisiko menyebabkan ketagihan digital, gangguan tidur serta penurunan prestasi akademik.Dari sudut keselamatan, larangan ini boleh membantu mengurangkan insiden penyebaran video buli, pergaduhan atau kandungan berunsur jenayah yang sering tular di platform sosial.Ia juga mampu mengurangkan gangguan terhadap tumpuan pelajar di sekolah, sekali gus membina persekitaran pembelajaran yang lebih sihat dan kondusif.Walaupun sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa telefon pintar penting untuk tujuan komunikasi kecemasan, alternatif seperti penggunaan telefon awam sekolah atau telefon biasa tanpa capaian internet boleh dipertimbangkan.Tumpuan utama adalah untuk mendidik generasi muda agar menggunakan teknologi secara bertanggungjawab dan beretika.Kesimpulannya, cadangan larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar bawah 16 tahun bukanlah sesuatu yang baharu. Banyak negara luar telah melaksanakan dasar serupa demi kesejahteraan pelajar mereka.Malaysia juga wajar mencuba pendekatan ini terlebih dahulu sebagai langkah permulaan untuk membentuk generasi pelajar yang lebih berdisiplin, fokus dan seimbang dalam dunia digital masa kini.