Kesan buruk cara berfikir, bertindak

SHAH ALAM - Penggunaan media sosial dan platform penstriman filem atau drama tanpa kawalan dalam kalangan pelajar antara punca utama peningkatan krisis moral melibatkan golongan itu yang semakin membimbangkan ketika ini.Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, penggunaan tidak terkawal itu boleh memberi kesan buruk terhadap cara mereka berfikir, bertindak dan berkomunikasi dengan masyarakat.Menurutnya, kebimbangan penggunaan media sosial tanpa kawalan bukan perkara baharu berdasarkan pelbagai kajian sebelum ini mengenai pengaruh media sosial kepada anak-anak."Kajian itu menunjukkan mereka tidak boleh membezakan kesannya dan menganggap apa yang berlaku di media sosial sebagai realiti"Pada pandangan saya, memang patut kerajaan buat sekatan. Di negara maju pun, mereka telah melaksanakan had untuk remaja melayari media sosial. Hanya mereka pada usia sepatutnya dan tahu membezakan antara realiti serta dunia maya dibenarkan menggunakannya," katanya kepada Sinar Harian.Tambah beliau, kawalan ibu bapa ketika anak berada di rumah, aspek terpenting perlu diberi perhatian.Ujarnya, jika ibu bapa mengawal dan memantau aktiviti dilakukan anak-anak ketika melayari media sosial, langkah itu dapat membantu mengurangkan pengaruh buruk terhadap golongan berkenaan.Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook pula berkata, kerajaan perlu menetapkan segera larangan penggunaan media sosial kepada remaja bawah umur bagi mengelak mereka terdedah bahaya dunia digital.Menurutnya, ia penting bagi melindungi kesejahteraan generasi muda daripada terpengaruh dengan pelbagai eksploitasi media sosial yang boleh menghancurkan kehidupan mereka.Tegas beliau, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting mengawal penggunaan media sosial dalam kalangan anak-anak."Masalah besar yang kita lihat hari ini ialah ibu bapa seolah-olah tidak mengawal anak-anak ketika mereka melayari media sosial. Golongan ini dibiarkan melayari video seperti di YouTube dan sebagainya tanpa pemantauan."Ibu bapa tidak melihat dengan siapa anak berinteraksi atau melakukan aktiviti dalam talian. Sepatutnya sebagai penjaga, mereka beri perhatian terhadap perkara ini," katanya.Penyelesaian krisis moralSementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman menegaskan, perbuatan jenayah melibatkan pelajar bukan isu terpencil tetapi gambaran jelas rapuhnya benteng moral dan agama dalam kalangan sebahagian generasi muda hari ini.Jelas beliau, Islam tidak memisahkan pendidikan akhlak daripada sistem sosial dan pentadbiran, maka penyelesaian terhadap krisis moral perlu berpaksikan pendekatan rohani, pendidikan serta persekitaran.Justeru, katanya, sudah sampai masa kerajaan bersama agensi berkaitan memperketat kawalan terhadap penggunaan media sosial dan platform penstriman filem dalam kalangan pelajar."Walaupun dunia digital membuka ruang maklumat tanpa batas, namun kebebasan tidak dikawal menjadi medan subur kepada budaya lucah, keganasan dan gaya hidup songsang."Kerajaan perlu meneliti mekanisme kawalan yang realistik termasuk mengehadkan akses kandungan tidak bermoral kepada akaun pengguna bawah umur, perketat lesen penstriman yang tidak sensitif nilai agama dan meningkatkan literasi digital beretika di sekolah," ujarnya.Pada masa sama, Mohd Sukki berkata, ibu bapa tidak boleh lepas tangan dan kawalan penggunaan gajet di rumah mestilah selari dengan disiplin rohani, bukan sekadar teknikal.Tambah beliau, kes jenayah melibatkan pelajar hari ini seharusnya membangkitkan keinsafan seluruh pihak kerana ia bukan sekadar kegagalan disiplin tetapi isyarat bahawa nilai agama kian menipis dalam masyarakat.Menurutnya, sudah tiba masa negara mengembalikan agenda pendidikan Islam dan pembinaan akhlak sebagai dasar kebangsaan bagi membentuk generasi mempunyai nilai serta adab mulia."Kerapuhan pegangan agama menyebabkan remaja tidak lagi menjadikan halal dan haram sebagai neraca tindakan. Pendidikan agama sering difahami sebagai teori, bukan tarbiah membentuk jiwa," katanya.