KEPALA BATAS - Jenazah Allahyarham Mustaqqeem Mansor, 34, yang ditemukan meninggal dunia selepas melakukan aktiviti mendaki di puncak Gunung Liang di Muallim, Perak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lahar Tabut, Penaga pada Sabtu.Jenazah Mustaqqeem tiba di Masjid Jamek Nurussaadah, Lahar Tabut kira-kira jam 2 pagi selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Slim River (HSR) Ipoh, Perak.Terdahulu, van yang membawa jenazah Allahyarham Mustaqqeem disambut ratusan ahli keluarga, rakan serta penduduk kampung di sini.Jenazah anak sulung daripada tiga beradik itu kemudian ditempatkan di bilik khas di masjid berkenaan bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir sebelum disolatkan selepas solat Subuh.Kira-kira 400 orang hadir mengiringi jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.Sebelum ini, Mustaqqeem dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser di Pahang pada 10 Oktober lalu dan dijadualkan turun di Gunung Liang, Isnin lalu.Bagaimanapun, lelaki itu ditemui meninggal dunia di puncak gunung, jam 3.30 petang Khamis, dengan sedikit kesan pendarahan pada hidung.Jenazah mangsa dibawa turun dari puncak gunung itu oleh pasukan Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 2.45 petang Jumaat menggunakan helikopter yang berlepas dari Subang sekitar 8.30 pagi.Polis mengesahkan punca kematian Mustaqqeem disebabkan akibat hipotermia atau kesejukan melampau.