Bimbang nak hantar penumpang jauh

SHAH ALAM – Pemandu e-hailing sepenuh masa mungkin terpaksa menampung kos tambahan sebanyak antara RM183 hingga RM549 sebulan bagi pembelian petrol tanpa subsidi disebabkan siling kelayakan 600 liter subsidi di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) didakwa tidak mencukupi.Majoriti pemandu e-hailing sepenuh masa itu dianggarkan menggunakan purata petrol antara 900 liter hingga 1,500 liter sebulan berbanding siling kelayakan hanya 600 liter.Pemandu e-hailing, Noor Hamisah Mohamed Shaari berkata, dia sendiri menggunakan sekurang-kurangnya 900 liter petrol sebulan dan siling kelayakan subsidinya untuk 300 liter pertama telah habis pada 10 Oktober lalu."Kalau dicongak dengan penggunaan minyak minimum 900 liter sebulan ini, saya mungkin perlu belanjakan tambahan RM183 sebulan untuk tampung kos pembelian 300 liter minyak tanpa subsidi mengambil kira perbezaan harga 61 sen seliter dengan minyak bersubsidi."Saya hanya ambil dan hantar penumpang sekitar ibu negara Kuala Lumpur sahaja iaitu jarak berdekatan. Kalau saya hantar penumpang ke tempat jauh seperti ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Johor Bahru, Seremban dan Melaka, penggunaan minyak sebulan lebih lagi."Saya ada rakan-rakan yang ambil perjalanan jarak jauh begini dan penggunaan petrol mereka dianggarkan boleh capai 1,500 liter sebulan," katanya kepada Sinar Harian.Noor Hamisah, 47, yang juga ibu kepada empat anak berkata, selain kos bahan api dia juga terpaksa menanggung kos penyelenggaraan seperti menukar minyak hitam dan minyak gear sekitar RM500 sebulan."Sebab itu sekarang ramai pemandu tak nak ambil penumpang yang pergi ke destinasi agak jauh kerana nak jimat minyak. Begitu juga semasa waktu puncak jalan sesak dan ketika hujung minggu ramai yang tak nak ambil penumpang serta tak mahu masuk Kuala Lumpur."Kadar tambang sekarang juga menyedihkan kerana kadarnya sama sahaja pada waktu sesak. Bayangkan kadar tambang dari Pavillion ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang jaraknya kira-kira 2.3 kilometer sekitar RM5 ke RM6. Tapi nak sampai hantar penumpang mungkin ambil masa setengah jam sebab jalan sesak. Di situ dah makan banyak masa," ujarnya.Noor Hamisah berkata, daripada siling kelayakan 600 liter yang diterima sekarang hanya kira-kira 100 liter sahaja digunakan untuk urusan peribadi dan selebihnya untuk kerja."Saya jadi pemandu e-hailing ini dah 10 tahun dan dari kerja 10 jam sehari, sekarang dah 14 jam sehari kerana kos sara hidup yang makin naik."Jadi diharap kerajaan dapat pertimbangkan untuk naikkan siling kelayakan. Kalau dapat beri 1,000 liter sebulan pun saya rasa sudah memadai berbanding dengan kadar yang diberikan ketika ini," katanya.Sementara itu, seorang lagi pemandu e-hailing, Mohd Azril Ahmat berkata, penggunaan petrolnya juga sekitar 900 liter sebulan berdasarkan purata isian minyak 30 liter setiap hari.Katanya, kos penyelenggaraan keretanya pula memakan belanja sekitar RM500 ke RM700 sebulan dengan kekerapan penyelenggaraan sebulan sekali."Oleh itu saya rayu kerajaan semak semula jumlah siling kelayakan yang diberikan. Untuk usaha ini perlu diadakan perbincangan lebih teliti antara pemandu, syarikat perkhidmatan e-hailing dan kerajaan."Saya juga mohon kerajaan beri penerangan secara terperinci kepada semua pemandu mengenai siling kelayakan yang diberi supaya pemandu jelas mengenainya," ujarnya.Terdahulu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) mendakwa kerajaan gagal membezakan antara subsidi petrol untuk kegunaan peribadi dan kuota bahan api bagi tujuan pekerjaan berikutan perbezaan itu memberi kesan terus kepada pendapatan ribuan pemandu e-hailing.Dalam kenyataannya, Penghantar berkata, realitinya pemandu e-hailing menggunakan kenderaan yang sama untuk bekerja dan kegunaan harian keluarga.