Bangun sistem pengesahan bersama agih subsidi RON95 secara adil

SHAH ALAM – Kerajaan disaran membangunkan sistem pengesahan bersama antara Kementerian Pengangkutan (MoT), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan platform industri bagi memastikan bantuan subsidi petrol RON95 diagihkan secara adil kepada golongan terlibat.Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif My Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan berkata, langkah itu penting bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar bergantung sepenuhnya pada aktiviti pemanduan atau penghantaran sebagai sumber pendapatan utama."Penyelesaiannya tidak rumit. Jika matlamatnya memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang bergantung penuh pada pemanduan atau penghantaran sepenuh masa, maka gunakanlah data yang sudah tersedia."MoT, APAD dan platform industri boleh membangunkan sistem pengesahan bersama menjejaki siapa yang aktif, berapa kerap dan jauh mana jarak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Wan Agyl berkata, langkah tersebut membolehkan pekerja sepenuh masa menerima kuota lebih tinggi, manakala pekerja separuh masa mendapat sokongan secara berkadar.Beliau berpandangan, kerajaan berniat baik apabila melancarkan rancangan subsidi petrol RON95 baharu dengan pemandu teksi diberikan 800 liter sebulan, pemandu e-hailing 600 liter manakala penunggang p-hailing menerima bantuan berdasarkan jumlah kerja mereka."Atas kertas ia kelihatan adil, namun hakikatnya ia telah menimbulkan kekecewaan senyap dalam kalangan ribuan rakyat Malaysia yang bergantung pada pekerjaan ini untuk meneruskan kehidupan," ujarnya.Bagaimanapun, Wan Agyl memberitahu, ramai pemandu e-hailing kini berasa seolah-olah mereka diketepikan kerana mereka menjalankan perkhidmatan awam sama, membawa penumpang, mematuhi peraturan lesen sama serta menanggung kos serupa namun menerima kurang daripada pemandu teksi.Tambah beliau, bagi penunggang p-hailing pula, bantuan diterima bergantung pada sejauh mana kerajaan mempunyai data mencukupi untuk membuktikan mereka layak."Alasan bahawa kita kekurangan data yang boleh disahkan mendedahkan jurang besar antara dasar dan realiti. Platform seperti Grab, Foodpanda dan ShopeeFood sudah mempunyai setiap kilometer yang dijejak, setiap perjalanan direkodkan. Data itu wujud."Yang tiada hanyalah keupayaan kerajaan untuk menyambungkan sistemnya dengan industri supaya keputusan dibuat berasaskan fakta, bukan andaian," menurutnya.Oleh demikian, beliau menambah, kini wujud dua kumpulan pemandu yang melakukan kerja sama tetapi di bawah peraturan berbeza."Satu mendapat lebih, yang lain kurang. Satu diraikan sebagai pengangkutan awam, yang lain dianggap kerja sampingan. Isu ini bukan sekadar jumlah liter, ia adalah soal keadilan."Apabila dasar lebih memihak kepada sistem lama dan meminggirkan sistem baharu, mesej yang dihantar ialah menyesuaikan diri dengan perubahan merupakan kesilapan, sedangkan ia sepatutnya dihargai," katanya.Justeru, beliau menegaskan dasar berkenaan perlu dinilai semula secara menyeluruh melalui proses tadbir urus baik agar tidak mewujudkan satu lagi lapisan ketidaksamarataan."Industri teksi wajar menerima sokongan, tetapi pekerja e-hailing dan p-hailing juga berhak mendapat penghormatan sama. Mereka bukan pesaing, tetapi rakan penyedia mobiliti awam," katanya.