SHAH ALAM - "Peluru datang dari setiap arah hingga ramai cedera semasa bertempur dengan komunis. Ada yang putus kaki dan tangan kerana jerangkap samar."Itu gambaran Koperal (B) Jonathan Julin Bandong, 70, ketika mengimbau pengalaman diserang pengganas komunis dalam Op Gubir II di Bukit Gubir, Kedah pada 1976.Bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkata, serangan di kem komunis terbesar di sempadan Malaysia - Thailand itu bermula setelah beliau pulang dari operasi serang hendap di Ipoh, Perak."Masa itu, saya sedang bercuti di Melaka sebelum diminta segera pulang ke Kem Sungai Udang."Sampai di kem, kelihatan sebahagian anggota X-Ray Skuadron telah berbaris di depan pejabat skuadron serta bersedia menaiki trak."Selepas siap berkemas dan membawa kelengkapan, kami menaiki trak menuju ke Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka, di mana sebuah pesawat menunggu untuk berlepas ke Kedah," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.Menurutnya, ketika tiba di lapangan terbang di Kedah, mereka segera menuju ke kem Gubir sebelum berkumpul untuk mendengar taklimat."Taklimat itu berdasarkan maklumat daripada salah seorang anggota komunis yang menyerah diri semasa Op Gubir I."Kami dimaklumkan kira-kira 400 askar komunis berada di kem tersebut. Seramai 36 anggota X Skuadron diminta untuk mencari, menyerang, membunuh musuh dan menawan kem komunis itu."Tanpa berfikir panjang, saya bersama seorang kawan berasal dari Sarawak, Wilfred Chulan mendaftarkan diri menyertai Op Gubir II," katanya.Jonathan berkata, kawasan Bukit Gubir itu telah dikepung oleh batalion dari Rejimen Renjer Diraja, Rejimen Askar Melayu Diraja serta anggota komando dari Zulu Skuadron.Menurut bapa kepada tiga anak itu, selepas sarapan pada 24 April 1976, beliau bersama rakan sepasukan yang diketuai Leftenan Aziz menaiki tiga helikopter Nuri pergi ke kem komunis."Sejurus selesai kami mendarat serentak di tiga lokasi berasingan, tiba-tiba saya terdengar beberapa dentuman kuat."Ketika saya mencari perlindungan, kami dihujani peluru musuh, kami kemudian berbalas tembakan serta membaling bom tangan ke arah komunis," katanya.Ujar Jonathan, pihaknya dimaklumkan tiga anggota tentera iaitu Sarjan Ahmad Jantan, Truper Yaacob Hassan dan Truper Hussin Mahbeb cedera parah akibat jerangkap samar."Beberapa helikopter Nuri cuba menghampiri kem komunis itu bagi menghantar pasukan komando untuk membantu kami, namun gagal disebabkan tembakan daripada pihak musuh," katanya.Geledah terowong musuhBercerita lanjut, kata beliau, sekumpulan tentera daripada Skuadron Jurutera diketuai oleh Leftenan Muda Basri dan dibantu oleh anggota komando diarahkan menggeledah terowong yang dibuat musuh di kaki Bukit Gubir, pada keesokan hari."Difahamkan terowong itu ada beberapa bilik seperti pejabat serta klinik kesihatan, seorang anggota tentera menjumpai guni yang disusun rapi."Tiba-tiba berlaku satu letupan kuat.. seorang anggota tentera berpangkat koperal meninggal di tempat kejadian, manakala Basri tercedera. Selepas mayat dibawa keluar dari terowong, operasi penggeledahan dihentikan serta-merta," ujarnya.Beliau berkata, sebuah helikopter Nuri yang membawa bekalan peluru, bahan letupan untuk memusnahkan terowong dan juga 11 penumpang serta krew telah ditembak jatuh oleh komunis pada 26 April 1976."Dua rakan sepasukan X-Ray Skuadron, Lans Koperal Kamarulzaman Zakaria dan Lans Koperal Suandi Saim yang menaiki helikopter tersebut turut terkorban," katanya.Kata anak jati Sarawak itu, beliau bersama rakan sepasukan terpaksa menyelinap masuk ke Thailand disebabkan helikopter tidak dapat mendarat di Malaysia."Kami kemudian dikepung oleh komunis, sehingga patah balik ke Malaysia dibantu oleh pasukan komando dari Y dan Z Skuadron balik ke kem Gubir."Baki 18 anggota komando terpaksa ditinggalkan dan mereka diarah melakukan RV (rendezvous) di satu kawasan berhampiran LP (landing point)," katanya.Minat jadi askarMengimbas detik awal pembabitannya dalam pasukan ATM, anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, minat terhadap dunia ketenteraan sejak remaja dan pengalaman melihat kampungnya diganggu pengganas komunis menjadi pendorong untuk menyertai pasukan keselamatan itu."Saya menjalani latihan asas di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 2 Februari 1974, sebelum mengikuti Kursus Komando di Kem Sungai Udang, Melaka."Sepanjang 10 tahun perkhidmatan, saya terlibat dalam pelbagai operasi termasuk Op Jala, Op Gonzales dan Op Daoyai Musnah," katanya yang menamatkan perkhidmatan pada 1 Februari 1984.Jonathan yang memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan berkata, beliau kemudian bekerja dengan sebuah syarikat minyak dan gas serta Kementerian Kesihatan Malaysia."Saya mengakui rasa terkilan apabila pengorbanan kami seolah-olah dilupakan. Ramai kawan yang gugur dan cedera diberi penghargaan, tetapi kami yang masih hidup jarang dipeduli," katanya.Beliau juga berharap anggota tentera baharu berkhidmat dengan jujur dan ikhlas kepada negara.BiodataNama: Jonathan Julin BandongStatus: BerkahwinAnak: 3 orangTarikh lahir: 1 Januari 1956Berasal: Mukah, SarawakTarikh masuk ATM: 2 Februari 1974Tarikh tamat perkhidmatan: 1 Februari 1984Tempoh perkhidmatan dalam ATM: 10 tahunPangkat: Koperal