PETALING JAYA – Laporan patologi berhubung kematian seorang pelajar perempuan yang ditemui maut akibat ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini, dijangka mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pihak patologi sebelum dapat mengesahkan jumlah sebenar kesan tikaman pada tubuh mangsa."Setakat ini laporan penuh belum diperoleh; kebiasaannya laporan patologi mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan sebelum sebarang pengesahan rasmi dapat dibuat."Hanya selepas laporan itu siap barulah jumlah sebenar kesan tikaman dapat disahkan secara rasmi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan ibu mangsa yang mendakwa menerima laporan menunjukkan terdapat 200 kesan tikaman pada tubuh anaknya.Menurut Shamsudin, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan dan setakat ini sebanyak 127 keterangan telah diambil daripada saksi bagi membantu siasatan."Kita telah memanggil seramai 127 saksi untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes ini."Manakala suspek utama yang ditahan masih direman sehingga 21 Oktober bagi membantu siasatan lanjut," katanya.Sebelum itu, ibu mangsa menerusi satu sidang akhbar mendakwa ahli patologi memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 200 kesan tikaman pada anaknya.Dalam kejadian itu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di kawasan tandas perempuan di sekolah berkenaan.Suspek kemudian ditahan dan direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.