Integriti, disiplin teras kepada pembentukan ‘roh' AKPS – Mohd Shuhaily

PUTRAJAYA – Dalam usaha memupuk identiti dan ‘roh’ tersendiri, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan bahawa kekuatan agensi itu terletak pada integriti setiap anggotanya.Mohd Shuhaily berkata, hasratnya adalah untuk menjadikan AKPS dihormati bukan kerana rasa takut, tetapi kerana ketegasan dan profesionalisme dalam menjalankan amanah menjaga sempadan negara."Saya mahu orang menghormati AKPS, bukan kerana takut tetapi kerana tahu kita tegas dan berintegriti," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama AKPS di ibu pejabat agensi itu di sini pada Jumaat.Menurut beliau, selepas genap setahun beroperasi, perjalanan AKPS bukan sesuatu yang mudah kerana ia melibatkan penyatuan pegawai daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di bawah satu bumbung."Proses ini seperti penggabungan dalam dunia korporat. Ada yang rasa berat hati, ada yang masih menyesuaikan diri, tapi saya bersyukur pasukan saya kuat dan komited," katanya.Beliau menegaskan bahawa fokus utama kini adalah membentuk ‘roh' AKPS agar setiap anggota memahami matlamat dan peranan sebenar mereka dalam melindungi sempadan negara."Saya mahu AKPS menjadi agensi yang bermaruah, dan perjuangan kita ialah membina nama baik yang disegani," jelasnya.Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu turut menegaskan bahawa disiplin dan ketegasan akan terus menjadi tunjang kepada budaya kerja AKPS."Saya mahu apabila seseorang dalam kapal terbang menuju ke Malaysia, mereka sudah mula berfikir dua kali sebelum melintasi garisan Imigresen dan Kastam, sama seperti rasa ‘takut’ kita melakukan kesalahan ketika memasuki Australia," ujarnya.Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmennya untuk meninggalkan legasi kukuh selepas mengakhiri tugas di AKPS kelak."Saya hanya mahu satu perkara, AKPS dikenang sebagai agensi yang dihormati. Bila saya pergi nanti, orang lain boleh teruskan tanpa beban," katanya.