Pesara rugi lebih RM134,000 ditipu tawaran kerja sambilan dalam talian

RAUB – Seorang lelaki berusia 63 tahun kerugian lebih RM134,000 gara-gara terperdaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud.Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mangsa yang juga seorang pesara nekad menggunakan wang simpanannya sebagai ‘modal’ tugasan selepas dijanjikan komisen sehingga 200 peratus.Menurutnya, mangsa menyedari ditipu apabila gagal mendapatkan semula wang modal serta komisen yang dijanjikan, malah suspek memberikan pelbagai alasan supaya mangsa terus membuat bayaran."Kejadian menimpa mangsa bermula selepas dia melayari laman sosial Facebook pada 6 Oktober lalu dan berminat dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian yang diiklankan di platform itu."Mangsa telah melayari pautan yang diberikan dan disambungkan kepada pegawai khidmat pelanggan untuk urusan selanjutnya. Pesara itu bersetuju dengan syarat-syarat yang diberikan sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan di aplikasi Telegram," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Mohd Shahril berkata, mangsa diminta untuk ‘like’ dan ‘share’ iklan barangan berjenama yang diberikan suspek melalui satu pautan sebagai tugasan."Bagaimanapun, mangsa dikehendaki membuat sejumlah bayaran kepada suspek bagi setiap tugasan dan ditawarkan komisen sehingga 200 peratus daripada modal yang dibayar."Mangsa terpedaya dengan tawaran komisen lumayan itu sehingga melakukan sembilan kali transaksi pembayaran melalui tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM134,424," katanya.Jelas beliau lagi, selepas bayaran dibuat, mangsa meminta untuk mendapatkan semula wang modal serta komisen yang dijanjikan namun gagal."Syak ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Raub pada Jumaat dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.Susulan kes itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sekiranya menerima tawaran pekerjaan sambilan dalam talian, terutama yang meminta bayaran wang terlebih dahulu atas pelbagai alasan."Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali."Sekiranya terdapat keraguan dalam sebarang transaksi melibatkan pindahan wang atau nombor telefon mencurigakan, orang ramai dinasihatkan membuat semakan terlebih dahulu melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my," katanya.