KDN perkenal strategi baharu perkukuh keselamatan sekolah – Saifuddin

ALOR GAJAH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal memperkenalkan strategi baharu bagi memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan seluruh negara, terutama sekolah dalam masa terdekat.Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu akan direalisasikan susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersetuju supaya kehadiran polis di kawasan sekolah dapat dipertingkatkan secara lebih kerap dan terancang.Menurut beliau, inisiatif itu melibatkan peningkatan rondaan serta lawatan berkala anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke sekolah bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian khusus, selain memastikan keberadaan sang saka biru lebih dirasai komuniti setempat."Saya telah menyampaikan keputusan dan arahan Jemaah Menteri kepada pihak polis melalui Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay (semalam) dan memintanya melakukan persiapan ke arah itu (strategi)."Jadi nanti kami akan hebahkan, maknanya strategi baharu ini akan kita mulakan bila, tentunya dalam masa terdekat," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) 2025 di sini, pada Sabtu.Dalam pada itu, Saifuddin berkata, strategi baharu itu turut memberi penekanan terhadap pendekatan komuniti antara polis dan pihak sekolah menerusi peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang akan diperkukuh bagi memastikan keberkesanan komunikasi dua hala.Menurutnya, PDRM juga sedang meneliti semula jadual rondaan agar sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi, termasuk yang pernah terbabit dengan kes buli, pergaduhan dan ancaman luar, diberikan perhatian khusus sama ada di bandar mahupun luar bandar.Tambah beliau, langkah ini sekali gus dapat mewujudkan rasa selamat dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa. Kehadiran polis yang lebih konsisten juga membolehkan pencegahan awal dilakukan serta keyakinan masyarakat terhadap sistem keselamatan sekolah dapat dipertingkatkan."Selain keberadaan secara ‘omni-presence’ itu, polis juga akan diminta tampil dengan program lebih kreatif bagi meningkatkan kesedaran murid dan pelajar mengenai aktiviti jenayah," ujar beliau lagi.Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, KDN menekankan fokus utama dalam beberapa aspek termasuk meningkatkan rondaan dan kehadiran polis di kawasan sekolah bagi menyokong dasar keselamatan digital pelajar.Saifuddin berkata, kementerian turut memperkukuh kempen kesedaran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta memperkasa peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dalam membimbing pelajar mengenai keselamatan siber.