Sindiket paksa 7 wanita warga India jadi pekerja seks tumpas

KUALA LUMPUR – Hasrat tujuh wanita warga India mencari rezeki di negara ini bertukar derita apabila mereka bukan sahaja dipaksa menjadi pekerja seks malah turut dipukul dan diugut jika enggan menurut arahan sindiket.Mangsa berusia antara 25 hingga 40 tahun itu pada awalnya dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah, namun sebaik tiba di negara ini mereka dikurung dan dipaksa melayan pelanggan di sebuah hotel di Jalan Ampang.Kesemua mereka kemudian diselamatkan menerusi Op Pintas (Eksploitasi Seks) dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 30 September lalu kira-kira jam 1 pagi.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa dikawal ketat oleh ahli sindiket dan tidak dibenarkan keluar dari premis tempat mereka dikurung."Mangsa bukan sahaja dieksploitasi untuk tujuan seks, malah ada yang dipukul dan diugut sekiranya enggan mematuhi arahan sindiket."Mereka sentiasa diawasi bagi mengelak daripada melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Kumar berkata, dalam serbuan itu polis turut menahan 12 individu dipercayai ahli sindiket, terdiri daripada dua lelaki tempatan berumur 34 dan 63 tahun serta enam lelaki dan empat wanita warga India berusia antara 21 hingga 58 tahun."Semua suspek ini dipercayai berperanan merekrut, mengawal dan menguruskan kegiatan pelacuran mangsa yang diperdaya."Siasatan lanjut juga mendapati salah seorang suspek merupakan anggota polis yang disyaki terlibat secara langsung," katanya.Menurutnya, selepas siasatan lengkap, kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada 16 Oktober lalu."Lima individu termasuk anggota polis berkenaan telah dituduh di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007)."Selain itu, lima lagi warga asing turut dituduh di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah" katanya.Beliau berkata, kesemua tangkapan telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat."PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk anggota penguat kuasa yang bersubahat dalam jenayah kejam ini."Tindakan tegas akan diambil tanpa mengira pangkat atau kedudukan," katanya.Tambahnya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan orang atau eksploitasi seks kepada polis bagi membantu siasatan."Kerjasama orang awam amat penting bagi memastikan mangsa yang masih terperangkap dalam sindiket seperti ini dapat diselamatkan segera."Jenayah pemerdagangan orang kini semakin licik apabila sindiket menggunakan pelbagai helah termasuk menawarkan pekerjaan bergaji lumayan bagi memperdaya mangsa sebelum dipaksa menjadi pekerja seks," katanya.Tambahya, kejayaan operasi kali ini bukan sahaja menyelamatkan mangsa daripada terus dieksploitasi, malah turut membongkar rangkaian sindiket yang dipercayai beroperasi secara tersusun di sekitar ibu negara."PDRM akan terus memperhebatkan Op Pintas di seluruh negara bagi menumpaskan kumpulan yang memperdagangkan manusia untuk keuntungan haram," katanya