Kes tikam pelajar perempuan: 127 saksi dirakam keterangan

KUALA LUMPUR - Sebanyak 127 saksi termasuk rakan suspek dirakam keterangan setakat ini, bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Selasa lepas.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada bahagian patologi bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan."Setakat ini kita masih menunggu laporan patologi. Kebiasaannya, laporan penuh boleh diperoleh dalam tempoh sebulan atau lebih awal, namun paling lama sekitar tiga bulan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, suspek lelaki berusia 14 tahun yang juga pelajar peralihan masih direman hingga 21 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Sebelum ini, media melaporkan pelajar perempuan berkenaan maut selepas ditikam di bahagian dada dan leher dalam kejadian di sekolahnya di Bandar Utama.Mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suspek, yang juga pelajar sekolah sama, telah ditahan untuk siasatan lanjut.Rabu lepas, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, tikaman pada dada dan leher dikenal pasti menjadi punca kematian berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).Jasad mangsa telah dituntut oleh keluarganya pada 7.30 pagi hari sama selepas proses bedah siasat selesai dilakukan di PPUM malam sebelumnya.Pada hari sama, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah tahanan reman tujuh hari terhadap pelajar lelaki terbabit bagi membantu siasatan kes itu. - Bernama