ADUN Temiang kesal syarikat insurans culas bayar tuntutan

SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai meluahkan ketidakpuasan hati terhadap sebuah syarikat insurans yang didakwa culas membayar tuntutan kehilangan kegunaan kenderaan (loss of use) yang dibuatnya tahun lalu.Menurutnya, tuntutan itu dibuat selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail miliknya mengalami kerosakan akibat dilanggar oleh sebuah kenderaan lain di rumahnya di Kampung Rahang, di sini pada April tahun lalu."Saya tiada isu dengan pemandu kenderaan tersebut kerana dia sememangnya bertanggungjawab atas apa yang terjadi dan kerosakan kereta saya pun telah dibaiki menggunakan insuransnya."Cumanya sekarang, saya tidak berpuas hati dengan syarikat insurans terbabit yang memberikan pelbagai alasan berkenaan tuntutan kehilangan kegunaan kenderaan yang saya mohon, sedangkan pada awalnya pihak ejen memaklumkan bahawa tuntutan tersebut akan dibayar dalam tempoh antara tiga ke empat bulan," katanya kepada Sinar Harian.Jelas Chin Tsai, sejak awal lagi beliau tidak berpuas hati dengan syarikat insurans tersebut kerana mereka memaklumkan hanya mahu membayar RM30 sehari bagi tempoh enam hari kenderaannya tidak dapat digunakan akibat kemalangan.Tambahnya, beliau difahamkan bahawa mengikut garis panduan Bank Negara Malaysia, kadar bayaran untuk kenderaan melebihi 2,000cc adalah sebanyak RM85 sehari."Saya rasa kadar RM30 sehari itu sangat rendah, begitu juga dengan jumlah hari tuntutan. Disebabkan itu, saya telah membuat rayuan dua kali kepada syarikat insurans terbabit."Pada bulan lalu, saya menghubungi pihak insurans untuk bertanyakan lebih lanjut berkenaan rayuan saya dan rupa-rupanya syarikat telah pun membuat keputusan untuk membayar saya RM50 sehari untuk tempoh 13 hari, dengan jumlah keseluruhan RM650 pada Julai lalu," katanya.Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan syarikat berkenaan yang tidak memaklumkan keputusan tersebut kepada pelanggan lebih awal.Kata Chin Tsai, beliau kemudian diminta mengisi borang persetujuan untuk menerima jumlah tuntutan yang ditawarkan berserta maklumat yang diperlukan, namun sehingga kini masih belum menerima bayaran tersebut."Syarikat insurans perlu lebih bertanggungjawab atas setiap tuntutan yang dibuat oleh pelanggan dan bersikap lebih profesional, bukannya mahu mengaut keuntungan semata-mata."Saya percaya orang lain pun ada pengalaman sukar membuat tuntutan kepada syarikat insurans dan saya rasa bukan semua orang tahu bahawa mereka layak membuat tuntutan kehilangan kegunaan kenderaan sekiranya terbabit dalam kemalangan. Jika begini layanannya, ia sangat mengecewakan," katanya.Tegas beliau, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya syarikat insurans tersebut masih gagal menyelesaikan tuntutannya dalam tempoh terdekat.