PETALING JAYA – Jenazah pelajar Universiti Malaya (UM) yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga kolej kediamannya akan dikebumikan di Masai, Johor pada Sabtu.Jenazah Allahyarham Ahmad Arif Zawir Mohd Ali sebelum itu disolatkan sekitar jam 9.50 pagi di Surau Ad-Deeniah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).Solat jenazah ke atas Allahyarham dihadiri oleh rakan-rakan, ahli keluarga serta pensyarah yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.Ahmad Arif Zawir merupakan pelajar tahun akhir Jabatan Fiqh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam UM.Difahamkan, jenazah akan disolatkan sekali lagi di Surau Masjid Taman Rinting, Masai sebelum dikebumikan petang ini.Media sebelum ini melaporkan bahawa pelajar terbabit meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga kediamannya di Universiti Malaya pada Jumaat.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata bedah siasat dijalankan di Bilik Bedah Siasat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) antara jam 10 malam sehingga jam 3 pagi.Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.Ujar beliau, mangsa juga didapati mengalami kecederaan di bahagian dada selain tiada kesan jerutan atau sebarang unsur jenayah.