UMNO teliti aspek perundangan jika ahli Parlimen digantung bertanding PRN Sabah

KOTA KINABALU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan meneliti daripada aspek perundangan dan politik sebelum sebarang tindakan dibuat berhubung dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang berkemungkinan bertanding menggunakan tiket parti lain pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah nanti.Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, kedua-dua ahli Parlimen terbabit telah dikenakan tindakan penggantungan keahlian oleh parti."Mereka sekarang ini memang digantung dan menurut laporan, mereka akan bertanding atas tiket payung yang lain."Jadi, kita akan lihat dari segi aspek perundangan dan juga dari segi aspek politik," katanya ringkas ketika ditanya pemberita sama ada BN bersedia kehilangan dua kerusi Parlimen berdasarkan peruntukan di bawah Akta Anti Lompat Parti.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Karnival Mooda @ Desa X PNG: Penanak Culture Sabah di Pantai Odec, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Sabtu.Ketika ini, dua penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu), masing-masing merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Parlimen Kalabakan yang telah digantung keahlian dalam UMNO.Situasi kedua-dua ahli politik itu menyebabkan mereka tidak mungkin dapat bertanding atas tiket BN.Malah, UMNO Sabah sebelum ini turut menegaskan tidak akan mencalonkan semula kedua-dua penyandang kerusi DUN berkenaan memandangkan mereka kekal menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.