GEORGE TOWN : MCA akan menampilkan calon anak watan yang memahami kehendak dan aspirasi rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu ke-17 bulan depan, kata Presiden parti berkenaan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Beliau berkata calon yang bakal diketengahkan parti itu juga merupakan individu yang lahir dan berakar umbi di Sabah serta mempunyai rekod khidmat yang baik di kawasan masing-masing. “Yang penting, mereka dikenali dan sudah lama berkhidmat di kawasan itu,” katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCA Pulau Pinang di sini hari ini. Wee berkata senarai calon MCA bagi PRN Sabah telah dibincangkan pada peringkat Barisan Nasional (BN) dan kini menunggu pengesahan akhir sebelum diumumkan. Beliau menjangkakan pengumuman rasmi akan dibuat sebelum hari penamaan calon pada 15 Nov, manakala pelancaran jentera pilihan raya dijadualkan kira-kira seminggu lebih awal. Sebelum ini, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata BN akan menampilkan calon daripada MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk bertanding pada PRN Sabah ke-17. Dalam pada itu, Wee menegaskan MCA kekal sebagai sebahagian daripada keluarga BN dan menolak sebarang spekulasi bahawa parti itu akan meninggalkan gabungan terbabit. “Setakat ini tiada isu. Setiap parti ada dinamik tersendiri, tetapi sebarang perubahan akan dibincangkan mengikut prosedur dan secara mendalam. Yang penting sekarang ialah fokus kepada kerja-kerja menghadapi PRN Sabah,” katanya. - Bernama