PM Anwar: Pertahan perpaduan, tolak politik perkauman

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar mempertahankan semangat perpaduan dan menolak politik berasaskan kaum yang hanya akan memecahbelahkan masyarakat majmuk di negara ini. Perdana Menteri berkata kemajuan dan kejayaan Malaysia dalam bidang ekonomi, sosial serta budaya tidak akan tercapai tanpa keamanan, kestabilan dan keseimbangan antara kaum serta agama. “Segala kemajuan dan kejayaan relatif yang kita kecapi dalam aspek ekonomi, sosial, budaya tidak akan dapat dicapai tanpa keseimbangan, tanpa keamanan dan kestabilan. “Ini unik di Malaysia kerana tidak banyak negara yang mempunyai berbilang kaum dan agama untuk mengekalkan semangat itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025 bertemakan “Cahaya MADANI, Sinar Perpaduan” di pekarangan KL Sentral, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Digital Gobind Singh Deo, bersama barisan Jemaah Menteri yang lain. Anwar juga mahu supaya rakyat Malaysia memainkan peranan masing-masing dan menilai setiap isu terutama yang menyentuh sensitiviti kaum dengan bijak dan rasional. “Dalam negara berbilang kaum, nak kemudi bukan mudah. Cakap sedikit tentang Bumiputera, Cina kata apa; sebut projek India, Melayu pula kata kita ditinggalkan. Rakyat Malaysia ini harus lebih pintar, lebih cerdas, lebih terdedah dengan maklumat,“ kata beliau. Beliau berkata kerajaan tidak membezakan kaum dalam pelaksanaan inisiatif bantuan rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sebaliknya menyalurkannya kepada semua yang layak. “Kita belanja bilion ringgit untuk selesaikan masalah miskin tegar. Di Kelantan majoriti Melayu, di Sentul dan Klang majoriti India. Apa kita kira ikut kaum? Tidak. Siapa masuk kategori miskin tegar, kita wajib bantu,“ kata beliau. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memperuntukkan dana khusus kepada masyarakat India termasuk RM50 juta bagi Amanah Ikhtiar Malaysia dan RM50 juta untuk Tekun Nasional, selain RM1.6 bilion melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan RM600 juta bagi pembiayaan perniagaan masyarakat India. Anwar turut menyentuh mengenai pendidikan khususnya peluang pelajar cemerlang bukan bumiputera menyambung pengajian di universiti awam. “Tahun ini kita tambah 1,500 tempat baharu di universiti bagi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam bidang perakaunan, kejuruteraan, perubatan, digital dan bahasa. “Tujuannya untuk memberi peluang sama rata kepada semua,“ katanya sambil menegaskan kerajaan Perpaduan sentiasa terbuka menambah baik dasar agar lebih inklusif dan adil untuk semua kaum. Sementara itu, Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa sambutan Deepavali membawa erti yang lebih besar iaitu perjuangan menolak kegelapan rasuah dan penindasan, serta menegakkan kebenaran dan keadilan. “Ini Deepavali, tiap-tiap tahun ia bagi cahaya. Tapi kalau terus gelap, mana boleh macam tu. Cahaya ini kebenaran, cahaya ini keadilan, cahaya ini kebaikan... menolak kegelapan, menolak rasuah, menolak penindasan. Ini erti sambutan Deepavali,“ katanya. Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025 anjuran Kementerian Digital dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara itu menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung terdiri daripada warga kementerian, rakan industri, komuniti setempat serta masyarakat pelbagai kaum dan agama. Majlis berkenaan turut menampilkan elemen budaya masyarakat India menerusi hidangan tradisional seperti tose, vadai, ladu dan muruku, selain persembahan seni serta tarian kebudayaan yang dikongsi semua lapisan masyarakat. - Bernama