PKR Sabah cari keseimbangan calon pimpinan dan profesional

KOTA KINABALU : PKR Sabah akan berusaha menampilkan keseimbangan antara calon daripada barisan pimpinan parti dan individu profesional yang direkrut dari luar menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17. Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata keseimbangan itu penting bagi memastikan kedudukan PKR terus kukuh serta menambah bilangan kerusi di negeri berkenaan. Beliau berkata parti itu menerima banyak permohonan daripada individu yang berminat menjadi calon namun keutamaan tetap akan diberikan kepada pimpinan sedia ada dalam proses pemilihan calon. Beliau berkata proses penilaian akan dibuat secara teliti namun parti perlu bersikap terbuka seperti parti-parti lain yang turut merekrut calon dari luar. Beliau menekankan pihaknya akan memastikan pimpinan sedia ada dijaga sambil mencari keseimbangan untuk kebaikan parti. Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas tentang kewujudan calon payung terjun yang akan mewakili PKR pada PRN Sabah ke-17. Mengenai isu pertindihan kerusi dengan Barisan Nasional Mustapha berkata perbincangan berhubung perkara itu hampir selesai dengan hanya satu atau dua kerusi masih belum dimuktamadkan. Beliau menyatakan dengan BN hampir tidak banyak masalah dan dengan Gabungan Rakyat Sabah pun ada beberapa kerusi bertindih yang dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata beliau sendiri tidak akan bertanding pada PRN kali ini kerana mahu memberi tumpuan kepada strategi memastikan calon-calon PKR menang. Beliau menjelaskan tumpuan itu adalah supaya agenda reformasi dapat diteruskan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI. Pada 6 Oktober lepas Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17. Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi adalah Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah pada 15 November manakala undi awal berlangsung 25 November dan tarikh mengundi pada 29 November. – Bernama