CUEPACS kemuka tiga opsyen tambah baik skim Pembantu Tadbir kepada JPA

IPOH : Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) telah mengemukakan tiga opsyen kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah baik skim Pembantu Tadbir Operasi dan Kewangan N1. Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat menjelaskan opsyen pertama ialah menjumudkan skim Pembantu Tadbir sedia ada dan menyelaraskannya terus di bawah gred N5. Beliau menegaskan ramai pembantu tadbir kini memiliki kelayakan lebih tinggi seperti diploma dan ijazah tetapi masih berada pada gred asas N1 dengan gaji setara kelayakan SPM. Penyelarasan ini akan memastikan skim mereka seiring dengan tanggungjawab sebenar yang kini jauh melangkaui skop tugas asal. Adnan berkata opsyen kedua ialah penambahbaikan melalui kenaikan secara sekali sahaja ke gred N5 bagi mereka yang memiliki kelayakan akademik lebih tinggi. Opsyen ketiga pula memberi laluan kenaikan gred secara automatik kepada N5 selepas penjawat berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam N1. Beliau menekankan semua opsyen yang dikemukakan tidak memberi implikasi kewangan besar kepada kerajaan. Struktur asas gaji adalah hampir sama kecuali pelarasan kecil pada kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT). Adnan turut mendedahkan kira-kira 320,000 penjawat awam berada dalam skim berkenaan. Mereka merupakan tulang belakang pentadbiran di kementerian, pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan di seluruh negara. – Bernama